Luar Negara Asia

Ulangan Arsenal vs Atletico Madrid di Singapura Julai nanti

Setiap tahun tanpa gagal, kelab-kelab ternama Eropah akan melakukan pra-musim di luar negara. Sama ada untuk mencari keserasian di antara pemain, mencuba taktikal baru atau sekadar strategi pemasaran, semua pasukan akan memilih tempat sendiri untuk pra-musim.

Bagi penyokong pasukan Arsenal, Atletico Madrid dan PSG di Asia Tenggara, berita baik buat mereka kerana ketiga-tiga gergasi Eropah itu akan beraksi di Singapura untuk kejohanan Pra-Musim, International Champions Cup.

Kejohanan ICC ini berlangsung di banyak negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah selain negara-negara Asia termasuk Singapura dengan 15 pasukan akan beraksi.

ICC di Amerika Syarikat akan menyaksikan pasukan seperti Manchester United, Real Madrid, Liverpool dan banyak pasukan lagi yang akan bertanding.

Apa yang menarik, perlawanan di antara Arsenal dan Atletico Madrid ini akan menjadi ulangan kepada aksi separuh akhir Liga Europa tahun ini yang akan berlangsung nanti.

Namun, dengan kejohanan Piala Dunia yang juga akan berlangsung musim ini, mungkin kita tidak akan melihat ramai pemain skuad utama yang pastinya memerlukan rehat selepas mengharungi musim yang memenatkan.

Kejohanan International Champions Cup ini akan diadakan pada 26, 28 dan 30 Julai di Stadium Nasional Singapura.