
Seramai 38 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Ahad, 18 Mei 2025.
Skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan pusat di Johor Bahru, Johor dari 18 hingga 26 Mei 2025, sebelum latihan diteruskan di Kuala Lumpur pada 27 Mei hingga ke hari perlawanan.
Cklamovski mengekalkan seramai 25 pemain dari skuad menentang Nepal pada aksi pertama Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 pada 25 Mac 2025 selain memanggil beberapa muka baharu termasuk juga pemain-pemain muda B-23.
Kem latihan pusat Harimau Malaya kali ini melibatkan 3 fasa.
Seramai 28 pemain akan melapor diri pada 18 Mei diikuti oleh 8 pemain – Syihan Hazmi, Corbin-Ong, Matthew Davies, Shahrul Saad, Junior Eldstal, Afiq Fazail, Romel Morales dan Endrick dos Santos pada 25 Mei dan baki dua lagi pemain – Dion Cools dan Hector Hevel pada 1 Jun 2025.
Malaysia dijadual berdepan pasukan Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis, 29 Mei 2025 jam 9:00 malam sebelum sekali lagi menentang lawan yang sama bagi Perlawanan Latihan secara tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 3 Jun 2025.
Skuad Harimau Malaya akan beraksi perlawanan kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 10 Jun 2025, jam 9:00 malam.