Luar Negara Asia Tenggara

“Penyokong Persib Bandung lebih bagus daripada penyokong kelab di Argentina” – Mario Gomez

Ketua jurulatih Persib Bandung, Mario Gomez sudah merasai atmosfera stadium di beberapa negara seperti Argentina, Greece, Malaysia dan kini di Indonesia.

Tidak sampai setengah musim bersama Persib Bandung, ada satu perkara yang diakui oleh Mario Gomez begitu hebat sehinggakan boleh menandingi liga bolasepak di Argentina.

Penyokong.

Itu antara perkara yang sememangnya telah menarik perhatian ketua jurulatih Persib Bandung yang berasal dari Argentina itu. Menurut Mario Gomez seperti dilaporkan Tribun Jabar, sokongan penyokong Persib yang dikenali dengan gelaran Bobotoh begitu hebat bahkan mungkin lebih hebat daripada penyokong beberapa kelab di Argentina.

“Penyokong (Persib Bandung) sangat bagus. Ada banyak pasukan besar di Argentina, tetapi penyokong mereka sedikit.

“Saya sangat suka Bandung kerana Bobotoh memang sangat luar biasa, mereka ini sanggup datang dari rumah ke stadium untuk menyaksikan perlawanan dan menyokong pasukan.”

Musim ini sahaja, penyokong Persib sudah menarik perhatian Gomez. Antara yang paling diingati pastinya ketika mereka membuat koreo dan tifo khas untuk Mario Gomez dalam perlawanan menentang Mitra Kukar pada 8 April yang lalu.

Dalam perlawanan tersebut, penyokong Persib membuat koreografi 3D yang memaparkan imej Mario Gomez dengan slogan, “Come on Persib, Bangkit!”

Kita memang tahu betapa gilanya sokongan rakyat Indonesia terhadap bolasepak. Bahkan kegilaan dan kreativiti penyokong kelab di Indonesia memang telah menarik perhatian ramai peminat bolasepak, bukan sahaja di Asia Tenggara atau Asia, bahkan satu dunia. Antara pasukan yang mempunyai penyokong yang cukup fanatik dan kreatif selain Persib Bandung adalah Persija Jakarta, Persebaya Surabaya, PSS Sleman dan banyak lagi.