Berita Luar Negara

Kerana ‘sticker’, Guangzhou Evergrande denda petugas jersi mereka

Selama ini, kebanyakan penggemar bola sepak lebih terdedah dengan kelibat pemain, jurulatih, pengurus pasukan dan juga pemilik kelab yang terlibat secara langsung dengan dunia bola sepak. Bagaimanapun, masih ada satu jawatan yang amat penting kewujudannya iaitu petugas jersi.

Mereka yang bekerja sebagai petugas jersi memiliki tanggungjawab untuk menyediakan segala keperluan berkaitan penggunaan pemain-pemain dan staf pasukan ketika latihan atau perlawanan. Bermula dari kon, bola, sarung tangan penjaga gol, jersi, seluar, sarung kaki sehinggalah kasut. Tidak menghairankan apabila mereka kurang diberi perhatian kerana mereka banyak bertugas di sebalik tabir.

Namun, sumbangan daripada mereka amat luar biasa untuk pemain. Tidak percaya? Cuba tanya kepada Daniele De Rossi yang sangat sedih ketika petugas jersi skuad kebangsaan Itali di Piala Dunia 2006, Pietro Lombardi, meninggal dunia pada 2016.

Baru-baru ini, timbul laporan kurang enak yang menimpa petugas jersi pasukan gergasi Liga Super China, Guangzhou Evergrande Taobao. Segalanya bermula ketika perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia menentang musuh senegara, Tianjin Quanjian.

Dalam aksi itu, pertahanan Evergrande iaitu Zhang Linpeng mengalami kecederaan ketika beraksi sehingga menyebabkan jersi digunakan berlumuran darah. Melihat keadaan itu, pengadil memberi isyarat kepada Linpeng untuk menukarkan jersi nombor 5 yang digunakan.

Malangnya, petugas jersi Evergrande memerlukan masa yang lama untuk menyediakan jersi gantian buat Linpeng. Untuk sementara, mereka membuat keputusan meminjam jersi nombor 15 milik Zhang Wenzhao.

Malah, petugas jersi Evergrande terus menggunakan penampal bagi menutup nama Wenzhao dan angka 1 yang terpampang di bahagian perut serta punggung set jersi itu agar boleh digunakan Linpeng.

Selama beberapa minit, Linpeng terpaksa menggunakan jersi kecemasan itu sehingga akhirnya menerima jersi yang lengkap dengan nama dan nombor sebenar.

Malangnya, langkah itu dilihat pihak pengurusan Evergrande sebagai sesuatu yang tidak bertanggungjawab. Hasilnya, mereka telah memberikan denda tetapi tidak dinyatakan secara terperinci oleh pihak kelab.

Melalui laman web rasmi, kelab yang memenangi tujuh Liga Super China dalam tujuh tahun oitu menyatakan bahawa tindakan petugas jersi itu salah dan merosakkan nama baik Evergrande sebagai pasukan yang profesional. Dalam aksi itu sendiri, Evergrande harus menerima hakikat diikat tanpa jaringan oleh Quanjian. Kedua pasukan akan kembali bertemu untuk perlawanan kedua pada pertengahan minggu depan.