Malaysia Luar Negara

Nakhon Ratchasima: 10 perkara tentang kelab Thai yang disertai Shahrel Fikri

Shahrel Fikri telah secara rasmi melengkapkan perpindahan ‘pinjaman’ ke Nakhon Ratchasima hari ini, sekaligus menjadi pemain Malaysia ketiga untuk beraksi di Liga Thai. Kiko Insa menjadi individu pertama apabila menyertai Bangkok Glass FC pada awal musim, sebelum Curran Ferns menyertai Sukhothai FC baru-baru ini.

Namun, penghijrahan Shahrel merupakan sebuah perkara yang wajar diberi pujian kerana penyerang PKNP ini dikatakan menerima pelbagai tawaran daripada kelab-kelab Malaysia. Namun, Shahrel tetap memilih untuk mengejar cita-cita beraksi di luar negara demi mengembangkan karier pada peringkat yang lebih tinggi.

Berikut adalah 10 perkara yang perlu anda tahu tentang kelab baru Shahrel Fikri, iaitu Nakhon Ratchasima FC:

DIKENALI SEBAGAI 'SWAT CATS'

Selain menggunakan nama 'Korat', Nakhon Ratchasima FC turut dikenali sebagai Swat Cats. Kelab bolasepak ini berpangkalan di kawasan Nakhon Ratchasima - sebuah kawasan yang cukup terkenal dengan kucing Korat. Spesies kucing ini merupakan antara yang tertua di dunia dan mempunyai bulu berwarna kelabu, sekaligus menjadi lambang ikonik untuk kawasan tersebut. Oleh itu, tidak aneh bahawa, Nakhon Ratchasima FC mengambil nama 'Swat Cats' sebagai nama jolokan mereka.

DIPIMPIN OLEH JURULATIH SERBIA

Pada waktu ini, Nakhon Ratchasima dipimpin oleh jurulatih yang berasal dari Serbia, iaitu Milos Joksic. Berumur 50 tahun, Milos dipandang sebagai antara jurulatih paling berpengalaman di Thailand, kerana sudah terlibat dalam kancah bolasepak Thai sejak tahun 2010, apabila beliau mengambil alih kelab Rajpracha. Selain itu, Milos juga pernah menjadi penolong jurulatih di kelab Thai terkemuka, Muangthong United pada tahun 2011.

STADIUM RASMI

The Swat Cats menggunakan Stadium '80th Birthday' untuk semua perlawanan 'home' mereka. Stadium ini dinamakan sempena ulang tahun ke-80 mantan Raja Thailand, King Bhumibol Adulyadej. Kapasiti stadium ini adalah 24,641 dan dibina untuk Sukan SEA 2007, ketika Thailand menjadi tuan rumah.

BEKAS KELAB PAULO RANGEL & LEE TUCK

Sebelum berhijrah ke Kedah, Paulo Rangel menyarung jersi Nakhon Ratchasima untuk satu tahun, di mana beliau berjaya meledak 19 gol dalam 33 perlawanan. Selain itu, kelab ini juga pernah membawa masuk Lee Tuck, yang berjaya menjaringkan 8 gol dalam 38 penampilan.

MEMPUNYAI BARISAN PENYOKONG YANG 'PASSIONATE'

Walaupun kelab ini mengalami masalah dalam menarik penyokong ke stadium suatu masa dahulu, kini Nakhon Ratchasima mempunyai antara barisan penyokong yang paling bersemangat di Thailand, menurut sahabat kami di Football Tribe Thailand. Malah, menurut statistik rasmi, the Swat Cats mempunyai kadar kehadiran penonton kelima terbaik di Liga Thai dan hanya berada di belakang Muangthong United, Buriram United, Suphanburi dan Chiangrai United.

ISAN DERBY

Oleh kerana Nakhon Ratchasima terletak di daerah Isan, kelab ini mempunyai perseteruan yang menarik dengan sebuah lagi kelab gergasi Thailand, Buriram United. Menurut rakan kami di Football Tribe Thailand, perlawanan 'derby' di antara Swat Cats dan Buriram United sering menarik ribuan penonton untuk hadir ke stadium, dan aksi-aksi yang ditampilkan di atas padang juga sering sengit. Kali terakhir Nakhon Ratchasima berjaya menewaskan Buriram adalah pada tahun 2016, namun perlawanan yang berlangsung baru-baru ini pada bulan April lepas menyaksikan the Swat Cats hanya sekadar tews tipis 2-1.

DIBINTANGI PEMAIN KEBANGSAAN THAILAND

Kapten pasukan Nakhon Ratchasima adalah tonggak pertahanan mereka, iaitu Chalermpong Kerdkaew. Pemain yang berusia 31 tahun ini beroperasi sebagai pertahanan tengah, dan dikenali sebagai antara pemain pertahanan paling agresif di Thailand. Malah, dia banyak diterapkan ke dalam skuad kebangsaan Thailand semenjak dua tahun lepas, termasuk skuad 23 pemain yang dipilih oleh Milovan Rajevac untuk perlawanan persahabatan menentang China pada 2 jun lepas.

MASALAH MENJARINGKAN GOL

Musim ini, Nakhon Ratchasima sedikit sebanyak mengalami masalah untuk menjaringkan gol. Penyerang utama mereka, Paulo Rangel dilepaskan ke Kedah pada hujung bulan lepas, dan menurut sahabat kami di Football Tribe Thailand, ketibaan Shahrel Fikri sememangnya dialu-alukan oleh penyokong Swat Cats. "Jika ada melihat tangga Liga Thai pada waktu ini, Nakhon hanya berjaya menjaringkan 22 gol setakat ini - rekod kedua terburuk di liga, walaupun kelab tersebut berada di tangga ke-9," kata Jedsada Chanapinijwong.

HANYA PERNAH MEMENANGI SATU PIALA

Biarpun kelab ini sudah wujud untuk 19-20 tahun, Nakhon Ratchasima hanya pernah meraih satu kejuaraan dalam sejarah mereka, apabila berjaya menjuarai divisyen kedua Thailand, ataupun Thai League 2 pada tahun 2014. Kemenangan itu turut memberi peluang kepada Nakhon Ratchasima untuk beraksi di divisyen teratas Thailand, iaitu Liga Thai 1, buat kali pertama pada tahun 2015. Sejak itu, Nakhon terus kekal beraksi di divisyen pertama, sehingga hari ini.

FORMASI 4-2-3-1

Menurut sahabat kami di Football Tribe Thailand, Nakhon Ratchasima sering turun beraksi menggunakan formasi 4-2-3-1 dengan Jakkit Niyomsuk sebagai penyerang utama. Pemain import Brazil mereka, Leandro Assumpscao sering beroperasi di bahagian sayap kiri, manakala seorang lagi pemain Thai, Ekkachai Rittipan bermain di sayap kanan pula. Berdasarkan posisi Shahrel Fikri di PKNP, dia mungkin boleh mengambil alih tugas Niyomsuk sebagai penyerang utama, ataupun Rittipan sebagai pemain sayap kanan.