Other Editions

FAM gantung bekas bintang Malaysia U16, Najmudin Samat 3 perlawanan kerana mengeluarkan kata-kata kesat

Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuaratnya pada 15 Jun 2017 (semalam) telah mencapai keputusan untuk menggantung beberapa pemain tempatan yang melakukan pelbagai kesalahan dalam perlawanan Piala Presiden, Piala FAM dan Liga Perdana.

Salah seorang pemain yang menerima hukuman itu ialah bekas bintang Malaysia U16 yang pernah menjadi bualan penyokong suatu ketika dahulu, Najmudin Samat. Beliau dihukum gantung 3 perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik dan didenda sebanyak RM3,000.00 atas kesalahan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan. Kesalahan ini dilakukan ketika perlawana Piala Presiden yang melibatkan pasukan Sarawak menentang pasukan Melaka pada 4 Mei 2017 di Stadium Negeri, Kuching.

Turut digantung ialah pengurus pasukan Melaka, Rusham bin Abu yang didapati bersalah kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan tersebut. Beliau akan menjalani hukuman penggantungan untuk 3 perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik dan didenda sebanyak RM3,000.00.

Aksi Najmudin ketika perlawanan Piala Presiden menentang pasukan Sarawak. Gambar Melaka united.

Jawatankuasa Tatatertib FAM turut menggantung pemain daripada pasukan Liga Perdana, MISC-MIFA iaitu Yoges Muniandy kerana berkelakuan ganas dengan sengaja sehingga memijak di bahagian peha pemain daripada pasukan PKNP FC pada 5 Mei 2017 di Stadium Perak, Ipoh. Pemain ini dihukum gantung 2 perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik dan didenda sebanyak RM3,000.00.

Selain itu, pemain daripada pasukan Piala FAM Kuching FA, Mohammad Shafitri Salim digantung daripada bermain di dalam Perlawanan Rasmi dan Tidak Rasmi iaitu Perlawanan Liga Malaysia dan Perlawanan Persahabatan selama enam (6) bulan berkuatkuasa mulai 15 Jun 2017 sehingga 14 Disember 2017 dan didenda sebanyak RM10,000.00. Pemain ini didapati bersalah kerana berkelakuan ganas dengan sengaja memijak Pemain Jersi No. 13 daripada pasukan SAMB FC (Hafizuddin Bin Mohamad Said) sehingga menyebabkan kecederaan yang serius ketika perlawanan Kuching FA menentang SAMB FC pada 20 Mei 2017 di Stadium Negeri, Kuching.

2 lagi pemain Kuching FA iaitu Remenor Pit dan Rafiezan Razali turut digantung daripada bermain di dalam Perlawanan Rasmi dan Tidak Rasmi iaitu Perlawanan Liga Malaysia dan Perlawanan Persahabatan selama tiga (3) bulan berkuatkuasa mulai 15 Jun 2017 sehingga 14 September 2017 dan didenda sebanyak RM5,000.00. Mereka melakukan kesalahan berkelakuan ganas dengan sengaja mencekik dan menyiku pemain lawan.

Pemain daripada pasukan SAMB FC, Amer Bin Omar turut digantung daripada bermain di dalam Perlawanan Rasmi dan Tidak Rasmi iaitu Perlawanan Liga Malaysia dan Perlawanan Persahabatan selama tiga (3) bulan berkuatkuasa mulai 15 Jun 2017 sehingga 14 September 2017 dan didenda sebanyak RM5,000.00. Beliau melakukan kesalahan berkelakuan ganas dengan sengaja mencekik pemain lawan.