Kongres Luar Biasa (EGM) yang diadakan oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sebulat suara memilih setiausaha sulit Ahli Parlimen Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim), Zainuddin Osman sebagai Presiden PFA yang baharu.
EGM yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN) turut memilih Jawatankuasa Eksekutif baharu PFA.
Zainuddin, 64, yang juga bekas pemain bola sepak Perlis di era 1970-an akan berkhidmat bersama PFA bagi temph 2019 hingga 2021.
Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafaie yang kemudiannya digugurkan setelah berlaku kemelut yang melanda PFA yang menyaksikan Timbalan Presiden, Mohd Abdul Karim Mansor Ahmad Khan menjadi pemangku Presiden.
Zainuddin ketika ditemui media berkata mahu menumpukan kepada pembangunan bola sepak negeri terlebih dahulu.
“Saya nak fokuskan kepada pembangunan bola sepak dulu. Lepas tu SUKMA (Sukan Malaysia). Selepas setahun, dua tahun barulah kita akan kembali kepada Liga Malaysia,” kata Zainuddin.
Dalam perkembangan yang sama, PFA akan mengadakan satu pertemua dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Jumaat ini bagi beberapa isu yang melibatkan PFA – kemelut kewangan, tunggakan gaji dan usaha PFA diterima masuk kembali dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M)
Barisan Jawatankuasa Eksekutif PFA sesi 2019-2021:
Presiden: Zainuddin Osman
Timbalan Presiden: Zamri Ibrahim
Naib Presiden: 1- Afizal Zain Othman
2- Tan Boon Hun
3- Datuk Ismail Osman.