Malaysia Asia

Khairul Effendy tidak mampu bantu SKN FC julang kejuaraan Liga Futsal Pro Indonesia

Selepas menjaringkan volley yang cukup menakjubkan dalam perlawanan separuh akhir semalam, pemain futsal Malaysia, Khairul Effendy Bahrin tidak dapat membantu pasukannya SKN FC Kebumen di perlawanan akhir Liga Futsal Profesional Indonesia.

SKN Kebumen yang menewaskan salah satu pasukan pilihan Black Steel Manokwari 2-1 dalam perlawanan separuh akhir semalam.

Namun, hasrat Khairul Effendy yang lebih terkenal dengan jolokan Ayon dan SKN FC untuk menjulang kejuaraan Liga Pro Futsal Indonesia tidak kesampaian apabila dikecewakan oleh Vamos Mataram FC dengan keputusan 6-1.

Pada Januari yang lalu, pertemuan di antara SKN FC Kebumen dan Vamos Mataram FC ini juga dimenangi Vamos yang menang dengan keputusan 4-2. Namun, SKN FC membalas dendam dalam pertemuan kedua mereka pada bulan Mac dengan kemenangan dramatik 4-3.

Ayon yang meluaskan kerjayanya ke Indonesia merupakan antara beberapa pemain asing yang menghiasi liga futsal Indonesia. Bersama SKN FC Kebumen, nama Ayon cukup terkenal dengan aksi lincah dan jaringan-jaringan menariknya.