Eropah Asia

Penjaga gol Filipina bantu Cardiff City mara ke Liga Perdana Inggeris

Semalam kelab Liga Kejohanan, Cardiff City berjaya dalam misi mereka untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris. Keputusan 0-0 ketika menentang Reading sudah cukup untuk meletakkan mereka di tangga kedua yang merupakan slot automatik ke Liga Perdana Inggeris.

Tapi, satu lagi perkara menarik selain daripada kejayaan Cardiff City ini kembali ke Liga Perdana Inggeris adalah pada musim hadapan, kita mungkin akan menyaksikan pemain Asia Tenggara pertama beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Penjaga gol kebangsaan Filipina, Neil Etheridge yang merupakan penjaga gol utama Cardiff akan membawa nama Asia Tenggara ke Liga Perdana Inggeris jika terus kekal bersama kelab tersebut.

Etheridge sebelum ini tidak mendapat peluang beraksi di Liga Perdana Inggeris ketika bersama Fulham. Dia kemudiannya berhijrah ke Charlton Athletic pada tahun 2015 tetapi kemudiannya dilepaskan.

Pemain berdarah Filipina-British itu kemudiannya menunjukkan aksi mantap bersama Walsall sebelum menyertai Cardiff pada tahun 2017.

Selepas menggantikan Lee Camp di gawang, Etheridge hanya tidak beraksi satu perlawanan sahaja untuk Cardiff pada musim ini.

Bersama Filipina, Etheridge berjaya membantu skuad Azkals untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

Dengan kejayaan Etheridge dan pemain-pemain Thailand di Liga Jepun, mungkinkah dunia akan mula melihat bakat-bakat yang ada di Asia Tenggara? Nampaknya sudah tiba masa untuk pemain Malaysia menggandakan usaha untuk meletakkan nama di mata dunia.