Malaysia Berita

Sarawak sasar bawa masuk bekas pemain tengah Kuala Lumpur

Dalam misi mengejar slot ke Liga Super pada musim hadapan, Sarawak nampaknya mula merancang untuk memperkuat pasukan dengan menukar pemain import bagi separuh kedua musim menjelang jendela perpindahan kedua.

Menurut laman web Sarawakcrocs.com Pemain yang kuat dikaitkan dengan Sarawak adalah bekas pemain import Kuala Lumpur musim lalu, Nicolas Dul.

Nicolas, seorang pemain tengah bertahan merupakan antara pemain yang menjadi tunjang utama kejayaan Kuala Lumpur menjuarai Liga Super pada musim lalu.

Berita kehadiran Nicolas Dul merupakan berita buruk kepada pemain import Sarawak dari Serbia, Nebosja Mirankovic yang dikatakan bakal digugurkan untuk memberi laluan kepada Dul.

Berasal daripada Buenos Aires, Argentina, Nicolas Dul pernah beraksi bersama River Plate B dan juga Pontevedra di Sepanyol.

Ketika bersama Kuala Lumpur, Nicolas Dul berganding dengan Paulo Josue, Irfan Zakaria dan Zhafri Yahya sepanjang musim lalu.
Dalam aksi Liga Premier musim ini, Sarawak kini berada di tangga keempat selepas mencatat empat kemenangan daripada sepuluh perlawanan. Skuad Bujang Senang akan berkunjung ke Stadium Pasir Gudang pada malam ini untuk berdepan JDT II.