Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan menang tipis, Marco Ragini minta maaf kepada peminat

Ketua jurulatih Kelantan, Marco Ragini mengakui beliau masih kurang berpuas hati dengan prestasi pasukannya.

Ini meskipun Kelantan meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier semalam.

“Masih ada banyak kekurangan, kami kehilangan kawalan bola beberapa kali di separuh masa pertama dan kedua. Cara kami bermain ketika ini tidak begitu ‘fluid’.

“Memang saya berulang kali kata ini pasukan baharu, pemain baharu, kami perlukan masa. Hari demi hari prestasi pemain meningkat, tetapi tidak mudah untuk beraksi baik dalam masa yang singkat.

“Saya tidak gembira. Saya percaya kami boleh beraksi lebih baik.

“Pasukan ini ada potensi besar tetapi walaupun sudah dipesan berkali-kali, kesilapan sama dilakukan dan ini merupakan kesilapan individu. Perkara ini berlaku kerana pemain tidak fokus kepada perlawanan.”

Ragini juga berharap, Kelantan dapat beraksi dengan lebih baik dalam perlawanan akan datang demi peminat yang membayar livestream untuk memberikan sokongan kepada pasukan itu.

“Kami perlu bekerja lebih keras, beraksi dengan penuh semangat. Kelantan mempunyai peminat yang ramai dan saya meminta maaf kerana ini bukanlah cara permainan yang saya ingin tunjukkan kepada mereka.

“Saya mahu peminat sayangi pasukan kerana cara permainannya. Tapi setakat ini, saya belum boleh gembira.

“Kadang-kadang kami tidak bernasib baik. Kami cuba beberapa kali untuk menjaringkan golf, tapi dalam perlawanan ini baguslah kami dapat menjaringkan gol di hujung perlawanan. Tetapi kegembiraan itu sekejap sahajalah.

“Perlawanan seterusnya kami perlu beraksi baik dan mendapatkan keputusan baik.”