Malaysia Liga Super Malaysia

Taktikal jurulatih bantu kemenangan kami – Ashri Chuchu

Perlawanan Kuala Lumpur menentang Kedah merupakan perlawanan paling dramatik setakat ini dalam kancah Liga Super 2018. 7 gol dijaringkan dengan Kuala Lumpur menjaringkan gol pertama dan gol terakhir perlawanan yang berkesudahan 4-3 kepada City Boys.

Penjaring gol kemenangan Kuala Lumpur, Ashri Chuchu ketika ditemui selepas perlawanan tetap merendah diri dan menyatakan kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menang dalam perlawanan tersebut.

“Saya rasa bersyukur kerana dapat menjaringkan gol kemenangan yang memberikan kemenangan kedua kepada kami. Ini hasil kerja keras semua rakan-rakan sepasukan yang tidak mahu menyerah kalah,” kata Ashri Chuchu kepada Football Tribe Malaysia

“Perlawanan malam ini seimbang. Kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menang, tetapi rezeki berpihak kepada kami.

“Bagi saya sendiri, taktikal jurulatih memainkan peranan. Kami telah melakukan persiapan awal dan kami menurut apa yang telah diterapkan di atas padang.”

Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao antara jurulatih yang berada dalam tekanan selepas Kuala Lumpur cuma mencatat satu kemenangan dalam empat perlawanan sebelum ini. Tapi nampaknya pertukaran formasi 3-5-2 ini ternyata berjaya membantu City Boys menang. Walaupun Kedah sebelum ini menjadi pilihan untuk menang, tetapi anak buah Fabio berjaya mencipta kemenangan sekaligus mengangkat skuad City Boys dari tangga tercorot.

Fokus seterusnya buat Kuala Lumpur adalah perlawanan menentang Melaka United dalam aksi Piala FA. Dengan kemenangan ini, Ashri berharap ianya akan memberi semangat kepada semua rakan sepasukannya.

“Kemenangan ini pastinya memberikan semangat buat kami untuk. Ianya suntikan semangat buat kami untuk kekal fokus bagi aksi liga dan juga Piala FA bertemu Melaka nanti.”