Liga Super Malaysia Berita

Lim Teong Kim: Kalau tak bagi peluang, macam mana pemain NFDP nak main?

Lim Teong Kim tampil menyangkal segala dakwaan yang dilemparkan oleh B Sathiananthan baru-baru ini.

Bercakap kepada Football Tribe, bekas Pengarah NFDP itu menyifatkan dakwaan-dakwaan Sathia itu hanya sekadar mengelirukan peminat, terutamanya mengenai sistem pembangunan bola sepak negara.

“NFDP bermula pada 2014 dan masa itu pemain berusia 13 tahun dan kini mereka berusia 19 tahun, bukannya 20 atau 21 tahun.

“Kemudian, dia mempersoalkan mengenai bilangan pemain NFDP dalam liga dan skuad kebangsaan. Kalau kelab tak beri peluang untuk bermain, macam mana mereka naik main.

“Lagipun, dalam skuad kebangsaan sekarang sudah ada dua pemain NFDP iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Arif Aiman Hanapi.

“9 pemain lagi dari skuad 2002 kini dalam pasukan B-23 dengan Brad Maloney yang kini sedang beraksi di Mongolia, dengan dua lagi pemain yang berasal dari skuad 2003.

“Malah, 5 pemain dalam kesebelasan utama yang melawan Laos adalah dari AMD iaitu Zikri Khalili, Harith Haiqal, Azrin Afiq, Umar Hakeem dan Luqman.

“Jadi, kalau mereka ini tidak bagus, mengapa mereka bermain bawah Brad Maloney?

“Boleh sahaja Brad ambil pemain berusia 21 atau 22 tahun dari liga untuk skuad B-23, tapi 9 hingga ke 11 pemain berusia bawah 19 tahun bermain di Mongolia, inilah hasil NFDP.”

Tambahnya, antara sebab lain mengapa masih ramai pemain NFDP tidak beraksi dalam Liga Super dan Liga Premier adalah kerana jurulatih liga lebih gemar bergantung kepada pemain import dan pemain tempatan yang lebih berpengalaman.

“Mereka hanya memikirkan tentang kemenangan, kalau letak pemain muda, mereka fikir tak boleh menang.

“Saya akui tak semua pemain muda bagus, tapi berilah mereka peluang, pasti boleh jadi pemain bagus, percayalah kepada mereka. Mereka perlukan minit permainan, barulah boleh menjadi pemain yang bagus.

“Peluang itu bila-bila boleh bagi, mungkin hujung musim baru pemain dapat peluang, tetapi apa yang paling penting adalah kepercayaan perlu ada pada keupayaan pemain muda.”

Beliau turut mempersoalkan cadangan Sathia untuk mengguna pakai kaedah lama pembangunan akar umbi di setiap negeri yang berjaya menghasilkan pemain seperti Indra Putra Mahayuddin, Khalid Jamlus dan Akmal Rizal Rakhli.

“Zaman dahulu itu, beritahu saya, apa yang mereka dah menang? Kalau tak menang, apa yang kamu nak banggakan?

“Saya tidak mahu menghina mana-mana pihak, tetapi ini adalah fakta. Sesiapa yang main dengan skuad kebangsaan, perlu ada keistimewaannya.”

Teong Kim yang berkhidmat sebagai Pengarah AMD pada 2016, menjelaskan bahawa NFDP memainkan peranan penting dalam menstruktur semula sistem pembangunan bola sepak akar umbi di peringkat negeri.

“Semasa saya di NFDP pada 2014, kita mula membentuk satu kelompok pemain. Satu tahun kemudian, kita ada Pusat Latihan Daerah (PLD), diikuti dengan Sekolah Sukan Negeri (SSN).

“Negeri-negeri banyak membantu pembangunan akar umbi, baik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Manakala pasukan elit dan yang cukup tersusun berpusat di Gambang.

“Liga-liga negeri berjalan seperti biasa, itu paling penting. Tiap-tiap minggu ada perlawanan dari peringkat usia 6 hingga 12 tahun yang bermain dalam liga yang diuruskan oleh NFDP, manakala usia 13 hingga 17 tahun SSN dan PLD bermain dalam liga Kementerian Pendidikan, manakala AMD bermain dalam Piala Belia yang dianjurkan oleh FAM.”

“Jadi, dia sebenarnya tidak faham dengan sistem pembangunan bola sepak negara.

“Ini bukan salah faham, tapi ini bodoh sombong. Apa yang dikritik, inilah salah satu daripadanya.

“Kita ada akademi tunas, kita ada AMD, setiap umur pemain ada liga, kita ada struktur pembangunan dan kita juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan. Ini semua hanya alasan, bukan tak ada buku boleh baca, boleh belajar.

“Saya tak perlukan publisiti, tapi bila ada yang berikan maklumat salah kepada peminat mengenai NFDP, ini tidak wajar.”

Teong Kim juga menyifatkan, pemain-pemainnya menunjukkan perkembangan baik, yang jelas boleh dilihat ketika dibawah Bojan Hodak yang berjaya membawa pasukan negara layak Kejohanan Piala AFC B-19 pada 2017 dan menjuarai Piala AFF B-19 pada 2018 dan kini pasukan dibawah kendalian Maloney.

“Kita ada 8 pemain AMD ketika itu yang bermain dengan skuad B-19 dan kini dua pemain main skuad senior. Kalau pemain itu tak bagus kenapa ambil mereka?”

Beliau turut menolak pandangan Sathia bahawa tindakan membawa pemain NFDP beraksi dalam kejohanan-kejohanan Eropah merupakan satu pembaziran.

“Ini bukan soal pembaziran wang. Budak-budak ini mesti dibawa keluar, didedahkan dengan bola sepak di tahap yang tinggi. Barulah mereka dapat bermain dengan lebih matang dalam bolasepak.

“Sebab itu kita bermain di Eropah, sekarang lihat, inilah hasilnya apabila pemain B-19 bermain dalam skuad B-23.

“Apabila jurulatih tempatan berkata kami membazir, saya anggap kami tidak membazir kalau ini untuk pembangunan akar umbi.

“Masa dengan saya, dua tahun sekali kita keluar ke Eropah, pemain didedahkan dengan macam-macam perkara, cara bermain yang berlainan. Paling penting adalah untuk membuang inferiority complex.”

Beliau juga menganggap bahawa JDT satu-satunya pasukan yang benar-benar serius dengan pembangunan akar umbi.

“Hanya JDT, pasukan-pasukan negeri lain langsung tidak ada hasrat untuk membangunkan bakat mereka sendiri. Mereka langsung tidak berminat.

“Jika benar dia prihatin dengan pembangunan akar umbi, kenapa mereka tidak bersuara dan membantah semasa Piala Belia dan Piala Presiden dibatalkan? Ini bukan salah NFDP.”

Beliau turut menyangkal bilangan pemain muda yang ramai dalam skuad kebangsaan Itali dan Sepanyol seperti didakwa Sathia.

“Berapa banyak pemain dalam setiap pasukan di dunia ini yang ada pemain muda 17 hingga 18 tahun? Mereka hanya ada satu atau dua pemain.

“Pasukan Itali paling muda pemainnya adalah 22 tahun, Sepanyol pula ada Gavi, jadi sebenarnya tak banyak.

“Kita pun ada dua pemain, Luqman dan Arif dari NFDP. Kalau jurulatih percaya dengan pembangunan pemain muda, lebih ramai yang akan wakili negara.”

Namun, Teong Kim mengakui masih ada yang tidak berpuas hati dengan program NFDP.

“Kalau dah benci sangat, buanglah, mansuhkan sahaja NFDP.

“Tapi kena ingat, kalau nak harapkan pasukan kelab seperti di luar negara yang lahirkan bakat sendiri, mereka semua sudah ada struktur akademi yang bagus.”

Beliau juga menyifatkan adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak menganggap program NFDP gagal hanya kerana mereka tidak layak ke Piala Dunia B-17.

“Perlawanan pertama kita menang lawan Tajikistan, penjaga gol kena kad merah. Selepas itu, lawan Thailand, kita tanpa penjaga gol utama dan Luqman kena kad merah.

“Jadi perlawanan ketiga, kita kekurangan pemain utama. Apa yang saya boleh buat dalam situasi itu? Hanya damage control. Jadi, kalau tak tengok perlawanan, jangan cakap pasal perlawanan itu.”

Teong Kim juga memberi contoh bagaimana pendekatan setiap pasukan di seluruh dunia terhadap pembangunan akar umbi.

“Kelab-kelab Eropah seperti Man City atau Liverpool yang mempunyai 25 pemain, dalam setiap perlawanan mereka akan menggunakan 8 hingga 10 pemain yang sama dengan satu pemain ditukar.

“Apabila lawan dengan pasukan yang lemah, barulah mereka akan turunkan pemain dari bangku simpanan.

“Dalam dunia bolasepak, bukan mudah nak lahirkan 11 pemain berkualiti dalam satu pasukan. Nak lahirkan 11 pemain senang sahaja, tetapi kalau tak berkualiti tak berguna juga. Kalau 10 tahun bermain tapi tak menang apa-apa, maknanya tak ada kualiti.

“Jadi bila Thomas Muller sertai pasukan utama Bayern, ia boleh dianggap sebagai satu kejayaan.

“Di Bayern, bukan selalu pun pemain muda masuk pasukan utama. Kadang-kadang tak ada langsung.

“Kalau ada satu pasukan dapat lahirkan pemain tiap-tiap tahun, itu sudah cukup hebat, tapi itu tidak berlaku.

“Tapi kalau tak ada pencapaian, apa yang nak dibanggakan. Itu bermakna yang tak ada pencapaian itu tak ada kualiti, tak menang apa-apa kejohanan.

“Saya akui, bukan semua pemain NFDP berkualiti, sebab mustahil sebenarnya untuk membentuk 22 pemain berkualiti pada masa yang sama.

“Saya tak kisah kalau ada pasukan nak beli pemain, tetapi mereka beli pun pemain yang mereka perlukan, mereka tak beli sampai 22 pemain dalam satu musim.

“Jadi yang selebihnya terletak kepada jurulatih pasukan untuk menyokong pembangunan akar umbi dan melahirkan bakat pemain sendiri.”

Bagaimanapun, Teong Kim mengakui, beliau masih memasang impian untuk membantu Malaysia layak ke Piala Dunia satu hari nanti.

“Bila saya mula-mula bekerjasama dengan Khairy Jamaluddin di NFDP dahulu, niat kita memang nak layak ke Piala Dunia.

“Niat kita nak menang kejohanan, tapi kalau takat letak sasaran Piala AFF, baik ambil jurulatih ijazah kampung baru.

“Kalau kamu hanya sasar siling rumah, kamu hanya akan dapat lantai. Kenapa tidak sasar langit? Sky is the limit.

“Mentaliti seorang jurulatih mesti menyasarkan apa yang dia mahukan, tapi kalau sasar rendah sangat, kamu takkan dapat apa-apa. Cubalah sasar sejauh yang mungkin.”