Malaysia Berita

CEO Red Warriors letak jawatan

Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors (KRW), Fazli Mohammad melepaskan jawatannya serta merta hari ini.

Dikhabarkan bahawa pihak KRW gagal mencapai kesepakatan dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) serta dilanda masalah membabitkan kewangan.

Fazli bercakap kepada Berita Harian bahawa setelah perjanjian termeterai pada 24 Januari 2019, PAFA wajib menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada KRW termasuk akaun bank; buku cek; dokumen berkaitan kontrak pemain, kontrak penajaan, hutang dan tunggakan gaji bekas pemain seperti mana tercatat dalam perjanjian.

“KRW sedar segala proses penyerahan pasti mengambil masa bergantung kepada selaju mana pihak Bibi Ramjani dan KAFA menguruskan segala dokumen untuk penyerahan kuasa.

“Saya juga pernah tegaskan dalam satu pertemuan bertarikh 6 Mac bersama Bibi Ramjani, Timbalan Presiden KAFA Datuk Affendi Hamzah, Naib Presiden KAFA, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir yang mana saya akan menarik diri dan membatalkan perjanjian yang ditandatangan kerana sudah tidak boleh berkompromi dengan sikap acuh tak acuh dan sikap sambil lewa serta tidak serius KAFA dalam penyerahan kuasa dan dokumen-dokumen seperti yang diminta,” katanya.

Pada 2 Februari, KRW bersetuju untuk meminjamkan sejumlah wang bagi pihak PAFA melunaskan gaji pemain skuad Liga Premier Kelantan menggunakan cek akaun KRW.

Selepas itu, KAFA meminta segala hal berkaitan hutang dan gaji diuruskan KRW tetapi penyerahan dokumen pemain masih dikuasai oleh pihak PAFA.

“Selepas itu, KAFA mengatakan segala hutang lama dan gaji pemain yang sedia ada perlu dituntut dengan KRW sedangkan mereka belum menyerahkan segala dokumen dan akaun bank yang masih dikuasai Bibi Ramjani Ilias.

“Tanpa akaun bank dan tanpa buku cek syarikat semestinya tiada kemasukkan wang dan pembayaran dapat diselesaikan yang pasti ia (KRW) tetap dipersalahkan demi menutup kelemahan pihak lain,” katanya.