Liga Premier Malaysia Berita

KAFA masih cari penaja

Pengerusi Jawatankuasa Penajaan KAFA Ahmad Muzakkir Hamid mengakui masih mencari penaja utama bagi menguruskan syarikat Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd.

Ini selepas After Image Sdn Bhd menarik diri daripada menaja dan menguruskan pasukan Kelantan FA, selepas pengurusan terpaksa menghadapi bebanan hutang banyak dan penangguhan liga akibat wabak COVID-19 menyebabkan hilangnya sumber pendapatan.

Malah selepas kehilangan penaja, KAFA bertindak merehatkan presiden Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan timbalan presiden Afandi Hamzah, dan melantik Datuk Shaari Mat Hussin selaku pemangku presiden yang kini bertanggungjawab mencari dana dan penaja baharu.

Bagaimanapun, Muzakkir menegaskan penaja yang berminat tidak perlu takut dengan masalah kewangan yang dihadapi pasukan itu.

“Ketika ini kami bekerja keras menggunakan pelbagai saluran yang ada, bagi mendapatkan penaja utama dengan keadaan ekonomi tidak menentu,” kata Muzakkir kepada Bernama.

“Bakal penaja utama tidak perlu takut dengan hutang lapuk yang dihadapi oleh persatuan, mereka tidak akan dibebani dengan masalah itu, berikutan 100 peratus KAFA akan tanggung hutang.”

Muzakkir berkata, pihak penaja utama hanya perlu menguruskan kewangan pasukan sahaja.

“Segala keuntungan seperti jualan jersi atau tiket diperolehi oleh penaja utama, dengan pembahagian 70 peratus dan 30 peratus kepada KAFA.

“Penaja utama mengurus kewangan seperti membayar segala hal berkaitan dengan pasukan utama sahaja, termasuk gaji pemain dan pegawai selain perbelanjaan pasukan.”

Dalam pada itu, Muzakkir mengesahkan KAFA telah menamatkan kutipan tabung selamatkan bolasepak Kelantan pada 28 Jun dan berjaya mengumpulkan RM26,000.