Malaysia Liga Super Malaysia

Khairul Fahmi dapat tawaran Melaka United

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hari ini mengesahkan satu tawaran rasmi telah diterima bagi mendapatkan khidmat penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, surat tawaran itu adalah daripada Melaka United dan rundingan masih dijalankan dan sebarang keputusan mengenai tawaran tersebut akan dimuktamadkan awal bulan depan.

“Kita sudah terima tawaran rasmi daripada Melaka United. Difahamkan ada sebuah lagi pasukan turut berminat terhadap Apek tetapi belum ada tawaran rasmi dibuat.

“Kita masih di peringkat perbincangan. Tunggu beberapa hari lagi untuk kita fikirkan mengenai tawaran tersebut,” katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, status kapten Mohd Badhri Mohd Radzi atau Piya masih samar berikutan tiada kata putus berhubung kontraknya.

Menurut Bibi, Piya sudah dimaklumkan mengenai keputusan ketua jurulatih, Fajr Ibrahim dalam satu pertemuan pada petang kelmarin.

“Saya bertemu Piya dan Apek petang kelmarin untuk memaklumkan mengenai keputusan jurulatih yang mahu mereka dilepaskan.

“Buat masa ini, hanya Apek yang sudah dirisik, Piya belum ada. Jadi kita tak boleh nak putuskan mengenai kontrak Piya,” katanya.

Namun buat masa ini katanya, kedua-dua pemain itu masih ada kontrak bersama Kelantan.

“Nak lepaskan kena persetujuan kedua-dua belah pihak tetapi tiada gunanya juga untuk terus bersama pasukan kalau tidak diturunkan jurulatih.

“Kita harap Piya pun dapat pasukan baharu. Kita akan cuba bantu dia cari pasukan baharu demi masa depannya,” katanya.