Malaysia Liga Super Malaysia

Irfan Bakti mahu Terengganu agresif menentang Kedah

Jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim tidak mahu anak buahnya memberi ruang langsung kepada pasukan Kedah dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Kuala Terengganu, malam ini.

Katanya, walaupun Kedah dibarisi begitu ramai pemain berkualiti malah mewakili pasukan kebangsaan, beliau mahu pemainnya yakin yang mereka boleh menewaskan Kedah.

“Semua pemain termasuk jentera tengah harus bekerja dengan lebih kuat dan mengawal pemain Kedah seperti Liridon Krasniqi daripada bergerak bebas malah barisan depan juga tidak boleh melepaskan sebarang peluang menjaringkan gol.

“Ini padang kita, jangan sesekali menjadi penonton bola dalam padang, sebaliknya bermainlah dengan lebih agresif,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam pada itu, kehilangan Kipre Tchetche yang mengalami kecederaan paha tidaklah begitu membimbangkan kerana pemain pinjaman dari Terengganu FC II (TFC II), Akanni-Sunday Wasiu akan menggantikan tempatnya buat sementara waktu.

Malah, Wasiu sendiri pernah beraksi bersama Bruno Suzuki di TFC II sebelum ini jadi lebih mudah untuk mereka mengatur serangan pada perlawanan itu nanti.

“Walaupun Wasiu hanya berlatih selama dua hari dengan kami, tapi kami yakin dia mampu menyesuaikan diri dengan rentak permainan pasukan.

“Suzuki yang sebelum ini bersama TFC II juga semakin serasi dengan TFC. Jadi ketiadaan Tchetche dalam perlawanan kali ini tidaklah begitu merunsingkan,” katanya.

Kehadiran beberapa pemain tempatan dari pasukan TFC II juga akan mengimbangi dan menguatkan pasukan dari Pantai Timur itu.