Malaysia Liga Super Malaysia

Selangor jelaskan mengapa Evan Dimas dan Ilham Udin dilepaskan

Ramai berasa hairan sebenarnya mengapa Selangor boleh memberi kebenaran kepada pemain import mereka, Evan Dimas dan Ilham Udin menyertai pasukan Indonesia B-23 untuk beraksi dalam Piala Ulang Tahun Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI).

Sedangkan kejohanan tersebut berada di luar kalendar Fifa dan berlangsung ketika Selangor perlu menghadapi perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan dan JDT.

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menjelaskan mereka perlu menghormati perjanjian yang telah dibuat antara Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan PSSI bagi melepaskan Evan dan Ilham jika terdapat sebarang kejohanan melibatkan pasukan kebangsaan.

“Ya, mereka menyertai skuad Indonesia B-23 jadi mereka akan terlepas dua aksi ketika bertemu Negeri Sembilan dan JDT.

“Memang ada sedikit mengganggu perancangan kami tapi saya yakin pemain lain dapat mengisi tempat mereka itu nanti,” katanya kepada Berita Harian.

Evan dan Ilham akan beraksi dalam kejohanan Piala Ulang Tahun PSSI bermula pada Sabtu ini.

Walaubagaimanapun, Nazliazmi tidak mahu memperbesarkan isu tersebut, memandangkan beliau sendiri sudah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai ketiadaan dua pemain itu dan meskipun perancangannya sedikit terganggu, namun bekas jurulatih Piala Presiden Selangor itu mempunyai pelan tersendiri bagi mengutip mata tanpa kelibat dua orang pemain itu.

Selangor kini berada di tangga ke-10 liga dengan hanya kelebihan satu mata sahaja di hadapan Kelantan dan bakal menerima kunjungan Negeri Sembilan pada Sabtu ini sebelum menentang JDT di Larkin pada Selasa depan.