Liga Super Malaysia Berita

Forkey Doe heret Pahang ke FIFA

Francis Forkey Doe membuat keputusan untuk membawa kes tunggakan gajinya dengan Pahang kepada FIFA.

Menurut Harian Metro, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) masih belum melunaskan tunggakan gaji penyerang berasal dari Liberia itu ketika beraksi pada musim 2018 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM746,500.

Malah, laporan itu mendakwa pemain berusia 34 tahun itu sudah menghantar beberapa notis dan surat tuntutan namun masih belum ada tindakan susulan daripada PBNP sehingga ke hari ini.

“Pada 2018, Forkey Doe menandatangani kontrak selama semusim dengan PBNP tapi ditandatangan tanpa ejen dan biasanya pembayaran gaji mereka dibuat secara tunai sahaja,” lapor Harian Metro berdasarkan pendedahan dari satu sumber.

“Gaji Forkey Doe untuk bulan pertama dan kedua dibayar. Masuk bulan ketiga ketika Pahang menentang Kedah pada pusingan ketiga Piala FA, dia mengalami ACL (anterior cruciate ligament) dan selepas itu dia terus hilang daripada pasukan.

“Dia juga hairan kenapa layanan pengurusan pasukan yang buat tak tahu dengan kos rawatan kecederaan. Forkey Doe terpaksa guna duit sendiri sedangkan dalam kontrak jelas pembiayaan kecederaan ditanggung pasukan.

“Pahang seolah-olah biarkan dia macam itu saja. Dia sudah beberapa kali hubungi dan beri notis tuntutan tapi Pahang senyap sahaja.

“Isu ini akan di bawa ke FIFA kerana sebagai pemain import dia boleh heret ke FIFA.”

Forkey Doe juga dilaporkan tidak pernah berhasrat untuk menamatkan kontraknya dengan Pahang ketika ini.

“Sebelum ini Forkey Doe ada mengambil peguam luar dan Pahang buat satu surat mengatakan dia setuju untuk tamatkan kontrak.

“Tapi sebenarnya, Forkey Doe tak pernah pun membuat surat itu. Mungkin sebab surat itulah Pahang tak mahu layan Forkey Doe.”

Pahang juga merupakan pasukan terakhir Forkey Doe, dan sudah dua tahun beliau tidak mewakili mana-mana pasukan.