Liga Super Malaysia Berita

Selangor jatuh tangga ke-9 Liga Super, Farhan Roslan penyelamat Sabah

Nidzam Jamil merasai kekalahan pertama sebagai jurulatih interim Selangor apabila tewas 2-0 kepada Terengganu dalam saingan Liga Super di Kelana Jaya malam ini.

Ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut Selangor dalam Liga Super.

Malah, Selangor mengharungi 4 perlawanan tanpa kemenangan, termasuklah tewas kepada Terengganu dalam separuh akhir Piala FA minggu lalu.

Selangor ketinggalan pada minit ke-13 apabila Habib Haroon berjaya menjaringkan gol dari luar kotak penalti.

Terengganu menggandakan kedudukan menerusi Manuel Ott yang menyudahkan hantaran Faisal Halim pada minit ke-39.

Selangor cuba bangkit di separuh masa kedua namun keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Selangor kini berada di tangga ke-9 liga dengan 16 mata daripada 14 perlawanan.

Terengganu pula berada di tangga ke-4 liga dengan 23 mata selepas 15 perlawanan.

Sementara itu, Farhan Roslan menjadi penyelamat Sabah apabila berjaya mengikat Kedah 1-1 di Alor Setar.

Kedah mendahului seawal pada minit ke-6 menerusi Ronald Ngah, dengan kedudukan 1-0 kekal hingga minit ke-80.

Namun, Farhan Roslan yang dibawa masuk sebagai pemain gantian berjaya menjaringkan gol penyamaan hasil hantaran Saddil Ramdani pada minit ke-84.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Kedah berada di tangga ke-6 dengan 18 mata manakala Sabah kekal di tangga ke-2 liga dengan 35 daripada 16 perlawanan.

Satu lagi perlawanan menyaksikan PJ City terikat 0-0 dengan Sarawak United di Kuching, dengan kedua-dua pasukan hanya dibezakan satu mata dengan Sarawak meraih 14 mata dan PJ dengan 13 mata.