Liga Super Malaysia Berita

Dahulu pemain bola sepak, Azizan Baba kini OKU pada usia 39 tahun

Dahulu, Azizan Baba beraksi dengan pelbagai pasukan seperti Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan Sarawak namun kini beliau terpaksa menjalani pembedahan kali ketiga selepas menghidap kanser di paha kirinya.

Pembedahan itu adalah bagi membuang sel giant tumor di paha kiri yang merebak dan membengkak.

Beliau mula menghidap penyakit kritikal itu sejak Ogos tahun lalu apabila mengalami kecederaan hamstring selepas bermain bola sepak dalam perlawanan persahabatan bersama bekas pemain Melaka.

Sejak itu, paha kirinya semakin membengkak dan dia mula mendapatkan rawatan di Hospital Melaka pada November tahun lalu dan hospital swasta dengan hasil imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mengesan ketulan darah beku di paha kiri.

Hasil dua pembedahan sebelum ini, ketulan darah berjaya dibuang dan hasil ujian makmal doktor memberitahu terdapat sel kanser di pahanya.

Bekas pemain bola sepak itu berkata, kanser yang kembali tumbuh termasuk di belakang lutut menyebabkan pembedahan terpaksa dilakukan di salah sebuah hospital di Johor Bahru.

Ia menyebabkan sebahagian saraf terpaksa dibuang sehingga pahanya menjadi kecil dan kaki serta jari tidak berasa apa-apa ketika disentuh malah tidak boleh digerakkan.

Bagaimanapun, Azizan reda dengan apa yang berlaku pada dirinya.

”Saya reda kini berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU),” katanya kepada Harian Metro.

“Sukar nak gambarkan kesusahan saya yang kini OKU termasuk kesukaran untuk bergerak ke bilik air dan urusan di rumah. Apapun pun saya reda dengan ketentuan Illahi.”

Keadaan Azizan turut mendapat perhatian kerajaan negeri Melaka, Persatuan Bolasepak Melaka United serta Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), malah perlawanan bola sepak amal turut diadakan.

Namun, kontraknya sebagai jurulatih bola sepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) telah berakhir sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu menyebabkan beliau tidak mempunyai pekerjaan sehingga ke hari ini.

Beliau hanya bergantung pendapatan isteri sebagai kerani bagi menampung lapan anak berusia setahun hingga 14 tahun.

Azizan juga menggunakan wang simpanan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mana-mana pihak yang ingin memberikan sumbangan untuk menampung kos rawatan yang akan dijadualkan pada 27 Julai dan 11 Ogos boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun Maybank 154026372544 (Azizan Baba).