Liga Super Malaysia Berita

Kelantan dimalukan di gelanggang sendiri, JDT selangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 2022

Johor Darul Ta’zim hampir mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2022 apabila menewaskan Kelantan 3-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Namun, kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain apabila Afiq Fazail dari JDT dan Jasmir Mehat dari Kelantan dilayangkan kad merah.

Bergson menjaringkan gol pendahuluan menerusi tandukan pada minit ke-29.

JDT menggandakan kedudukan pada minit ke-37 apabila Syafiq Ahmad menyudahkan hantaran Afiq Fazail.

Namun, Afiq dilayangkan kad kuning kedua apabila melakukan kekasaran terhadap pemain Kelantan.

Leandro Velazquez melengkapkan kemenangan JDT apabila merembat masuk gol pada minit ke-74, dengan keputusan kekal hingga tamat perlawanan.

Bagaimanapun, sebaik sahaja perlawanan berakhir, Jasmir pula dilayangkan kad merah.

JDT membawa bekalan selesa ke Johor Bahru, dengan kedua-dua pasukan akan bertemu semula di Iskandar Puteri pada Jumaat, 11 Nov ini.

Dalam satu lagi perlawanan, Sabah meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuching City di Kuching, Sarawak.

Gol tunggal itu dijaringkan hasil rembatan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-69.

Jika keputusan memihak kepada kedua-dua pasukan ini, JDT kemungkinan besar akan bertemu Sabah di separuh akhir Piala Malaysia.