Liga Super Malaysia Berita

JDT catat kehadiran penonton tertinggi Liga Super 2022

Johor Darul Ta’zim mencatatkan 181,316 kehadiran penonton dalam 11 perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada musim 2022.

Jumlah itu meliputi purata 16,484 penonton yang hadir di stadium, dengan 34,038 penonton hadir ketika JDT berdepan Sabah dalam perlawanan terakhir Liga Super sekali gus menjadi jumlah kehadiran penonton tertinggi bagi musim lalu.

JDT turut mencatatkan 33,579 kehadiran penonton ketika berdepan Borussia Dortmund dalam perlawanan persahabatan tahun lalu.

Selain itu, JDT mencatatkan 15,485 kehadiran penonton ketika menjulang Piala Sumbangsih menewaskan KL City awal tahun lalu.

Final Piala FA antara JDT dan Terengganu mencatatkan 84,321 kehadiran penonton manakala final Piala Malaysia menyaksikan JDT dan Selangor mencatatkan 79,988 kehadiran penonton.

Dengan kehadiran 14 pasukan dalam Liga Super musim 2023, JDT dijangka mencatatkan lebih 200,000 penonton apabila sebanyak 13 perlawanan akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim berbanding 11 perlawanan musim lalu.

Sabah muncul pasukan kedua terbanyak penonton hadir di stadium apabila mencatatkan 98,954 kehadiran penonton meliputi purata 8,996 penonton, dengan 23,523 penonton paling ramai dalam satu perlawanan liga.

Ini diikuti Terengganu yang mencatatkan 72,790 kehadiran penonton, Negeri Sembilan (69,374) dan Kedah (53,657).

Melaka United yang tidak dapat beraksi dalam Liga Super musim 2023 kerana masalah kewangan mencatatkan 33,737 kehadiran penonton, lebih ramai daripada Pahang (30,510), Selangor (24,622) dan Pulau Pinang (23,271) meskipun populasi negeri Melaka jauh lebih kecil berbanding pasukan negeri lain.

Kuala Lumpur City juga hanya mencatatkan 15,105 kehadiran penonton dalam 11 perlawanan Liga Super di Stadium Bolasepak Cheras meskipun mara ke final Piala AFC yang menyaksikan kehadiran lebih 30,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sarawak United yang tidak dapat beraksi dalam Liga Super musim 2023 kerana masalah kewangan dan tunggakan gaji hanya mencatatkan 12,181 kehadiran penonton di Kuching.

Ketiadaan Sarawak United akan menyaksikan penonton beralih arah ke Kuching City yang menjadi satu-satunya pasukan dari Sarawak yang beraksi dalam Liga Super.

Petaling Jaya City muncul pasukan paling kurang penonton bagi musim 2022 apabila mencatatkan 7,867 penonton dalam 11 perlawanan liga, sekali gus menjadi antara faktor utama pasukan itu menarik diri daripada beraksi dalam Liga Super musim 2023.

Pendatang baharu Liga Super iaitu Kelantan, Kelantan United dan Perak dijangka tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kehadiran penonton yang ramai namun PDRM bakal menjadi pasukan paling kurang penonton bagi musim 2023.

Jumlah kehadiran penonton Liga Super 2022 di stadium masing-masing

JDT 181,316
Sabah 98,954
Terengganu 72,790
Negeri Sembilan 69,374
Kedah 53,657
Melaka 33,737
Pahang 30,510
Selangor 24,622
Penang 23,271
KL 15,105
Sarawak 12,181
PJ 7,867

Piala Sumbangsih JDT lawan KL City 15,485
Final Piala FA JDT lawan Terengganu 84,321
Final Piala Malaysia JDT lawan Selangor 79,988