Liga Premier Malaysia Berita

Zaquan Adha bakal kembali ke Negeri Sembilan

Zaquan Adha Abd Radzak dilaporkan bakal kembali menyertai pasukan negeri kelahirannya, Negeri Sembilan dalam saingan Liga Premier musim depan.

Utusan melaporkan, penyerang berusia 33 tahun itu telah menandatangani kontrak bersama pengurusan pasukan itu baru-baru ini.

Ini bermakna, Zaquan akan kembali selepas 10 tahun meninggalkan Negeri Sembilan.

Zaquan memulakan kariernya di Negeri Sembilan bersama abangnya Aidil dan membantu pasukannya memenangi Liga Super 2006, Piala Malaysia 2009, 2011 dan Piala FA 2010 sebelum menyertai ATM pada 2012.

Zaquan dan Aidil kemudiannya berhijrah ke JDT pada 2013.

Aidil kekal di JDT sehingga kini, namun Zaquan yang sering berdepan dengan masalah kecederaan sering berpindah pasukan bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Selepas meninggalkan JDT pada hujung 2016, beliau menyertai Perak pada 2017, KL pada 2018 dan Kedah pada 2019, dan beliau kekal selama dua musim.

Sementara itu, Negeri Sembilan juga dilaporkan sudah mendapatkan dua pertahanan baharu iaitu Nasrullah Hanif Johan dari Terengganu FC dan Annas Rahmat dari Melaka United.

Kedua-dua mereka merupakan bekas pemain muda Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan juga berjaya mendapatkan dua bekas pemain PJ City, R. Aroon Kumar dan R. Barathkumar serta bekas penjaga gol Felda United, Muhaimin Mohamad.

Kemasukan beberapa pemain baharu itu berlaku selepas Negeri Sembilan melantik K. Devan sebagai jurulatih baharu bagi musim 2021.