Malaysia Berita

Stuart Ramalingam: Kes Marcel Kalonda bukti FAM berwaspada

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berpandangan keputusan untuk tidak meneruskan proses naturalisasi terhadap Marcel Kalonda membuktikan bahawa badan bolasepak negara itu berwaspada dengan pengambilan pemain asing.

Ini selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan bawah salah satu maklumat dalam dokumen yang diserahkan oleh Kalonda adalah tidak sahih.

Stuart menjelaskan, pihak JPN hanya perlu memeriksa kesahihan dokumen yang membuktikan terdapat pertalian darah antara Kalonda dan Malaysia dan perkara itu dapat dibuktikan menerusi sijil kelahiran dan kad pengenalan.

“Salah satu daripada dokumen yang dihantarnya disahkan tidak sahih oleh JPN, ia palsu,” katanya kepada Astro Arena.

“Dia perlu mengemukakan sijil beranak dan salinan kad pengenalan ayahnya sebagai buktinya layak selaku pemain warisan. Itu sahaja dokumen yang boleh diperiksa JPN.”

Stuart berkata, sebarang dakwaan Kalonda mengenai kelayakannya untuk mewakili Malaysia tidak diambil secara bulat-bulat sebaliknya keputusan FAM adalah berdasarkan pengesahan rasmi.

“Kami tidak mengambil keputusan sama ada mahu percaya atau tidak. Kami mengambil proses ini dengan tidak berat sebelah.

“FAM tidak mengambil keputusan yang terawal kerana kalau kami tidak percaya, maka kami tidak akan mengharungi proses ini tetapi kami biarkan proses ini menjadi bukti kepada sebarang keputusan yang akan diambil.

“Keputusan kami berdasarkan kewarganegaraan dan langkah FIFA bagi melengkapkan pendaftaran seseorang pemain itu sebagai tonggak warisan.”

Malah, Stuart percaya bahawa keputusan untuk menolak permohonan Kalonda merupakan langkah yang tepat, sekali gus mengelak daripada program naturalisasi dirosakkan oleh pihak tertentu.

“Kami serius terhadap proses yang akan diambil agar tidak tersalah langkah, ia boleh disalah guna kalau kami tidak teliti. Bukti dan keputusan yang dikeluarkan membuktikan bahawa kami telah mengambil keputusan yang tepat.

“Ini bukan isu buat pemain-pemain di luar sana sewenang-wenangnya mendapatkan perhatian di sosial media. Kami perlu tahu dan ramai pemain warisan negara dan naturalisasi, kami jadikan mereka popular tetapi mereka tiada komitmen untuk menyarung jersi kebangsaan.

“Bukan sewenang-wenangnya kami boleh memberi jersi untuk disarung kepada pemain sebarangan, kami mahu memberikannya kepada orang yang benar-benar mahu mewakili negara, bukan sekadar demi kepentingan mereka di sosial media.”