Malaysia Berita

Padang bola, futsal dan gimnasium dibenarkan beroperasi semula

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengeluarkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) untuk fasiliti sukan komersial dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ini selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial dalam kawasan PKPB iaitu padang bola sepak komersial, gimnasium dan gelanggang futsal, termasuk dewan badminton komersial, dibenar beroperasi semula mulai 19 Okt.

KBS berkata, fasiliti tersebut perlu mematuhi arahan termasuk tiada sentuhan badan dengan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik, manakala tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik.

Aktiviti di padang bola sepak dan gelanggang futsal hanya untuk tujuan latihan sahaja dan terhad kepada maksimum 10 peserta pada satu-satu masa, dan setiap pengusaha perlu menjadualkan pelaksanaan latihan sekiranya terdapat ramai peserta, dengan mengehadkan jumlah tidak melebihi jumlah maksimum.

Bagi pelaksanaan operasi di gimnasium dan dewan badminton pula, pengusaha perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan sebelum ini khususnya mengenai larangan perkongsian peralatan, sanitasi peralatan yang kerap dan penjadualan slot untuk memastikan kawalan bilangan pengguna pada satu-satu masa.

Sebarang pertandingan dan kejohanan yang melibatkan sentuhan badan masih dilarang.

“Bagi memastikan pematuhan terhadap SOP ini tidak diambil mudah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri akan sentiasa melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa.”