Berita Asian Cup

Malaysia tersungkur dalam perlawanan pembukaan Piala Asia 2023

Malaysia dikejutkan dengan kekalahan besar 0-4 kepada Jordan dalam perlawanan pembukaan Piala Asia 2023.

Skuad negara jelas diambang kekalahan apabila ketinggalan 2 gol dalam tempoh 20 minit pada separuh masa pertama.

Malaysia dibolosi dengan jaringan Mahmud Almardi yang melepaskan rembatan lencong dari sebelah kanan luar kotak penalti pada minit ke-12, sebelum pemain tengah Mousa Altamari menyempurnakan penalti pada 6 minit kemudian.

Penalti itu diberikan pengadil Mohammed
Abdulla Hassan selepas meneliti rakaman Video Bantuan Pengadil (VAR) di tepi padang, susulan Yazan Alnaimat dijatuhkan Matthew Davies.

Jordan kempunan untuk melebarkan kedudukan apabila jaringan Altamari pada minit ke-25
dibatalkan VAR, namun kekecewaan itu terubat apabila Almardi mudah menampan bola hantaran lintang Alnaimat tatkala Syihan Hazmi sudah tertewas.

Hasrat Malaysia untuk mengurangkan jurang gol tidak kesampaian apabila rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti Stuart Wilkin sedikit tersasar, keputusan 3-0 kekal di separuh masa pertama.

Kim Pan-gon membuat beberapa pertukaran antaranya memasukkan dua pemain naturalisasi Paulo Josue dan Mohamadou Sumareh,
selain Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Walaupun serangan pasukan negara menjadi lebih efektif, namun ia gagal menghasilkan gol apabila beberapa percubaan menarik berjaya diselamatkan penjaga gol Jordan, Yazeed Abulaila.

Sebaliknya, Jordan menambah satu lagi gol apabila Altamari dengan mudah melepaskan rembatan bola lambung yang melepasi jangkauan Syihan, sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan ranking dunia ke-87 itu.

Malaysia akan bertemu Bahrain pada 20 Januari ini sebelum bertemu juara dua kali Korea Selatan di sini pada 25 Januari.

Jordan mendahului kumpulan E dengan 3 mata berkongsi mata dengan Korea Selatan yang menewaskan Bahrain 3-1.