
MFL dan FAM hari ini telah mengadakan satu pertemuan melibatkan kepimpinan tertinggi kelab bola sepak (FC) dan persatuan bola sepak (FA) sebagai tanda penyatuan ‘keluarga besar’ bola sepak tanah air itu.
Pertemuan itu dihadiri adalah Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.
Begitu juga Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram; barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL dan Exco FAM serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Pemangku CEO MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd.
“Pertemuan itu diatur bagi memastikan FC dan FA dapat bekerjasama dengan baik dan bergerak selari,” kata kenyataan rasmi MFL dan FAM.
“Dalam usaha memperkasakan serta memajukan bola sepak di seluruh negara dari peringkat bawah sehingga ke pasukan utama yang beraksi di Liga Malaysia.”
Satu resolusi telah dicapai pada perjumpaan tersebut yang mana kesemua kepimpinan tertinggi FC dan FA yang hadir menjunjung kasih ke atas pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerusi segala apa yang telah dilakukan oleh baginda dalam memajukan bola sepak negara.
“Kesemua mereka juga menyatakan pendirian untuk memberikan sokongan penuh terhadap usaha-usaha yang telah dan akan dilaksanakan oleh Tunku Mahkota Ismail demi memartabatkan lagi bola sepak Malaysia sama ada di pentas antarabangsa atau peringkat domestik.”