Liga Super Malaysia

Ramalan FIFA Ranking Ogos 2017 Pasukan Kebangsaan Malaysia

Seminggu menjelang tarikh kemaskini FIFA Ranking bagi bulan Ogos 2017 yang akan diumumkan pada 10 Ogos nanti, Football Tribe seperti juga bulan-bulan yang lalu akan membuat ramalan FIFA Ranking Malaysia berdasarkan pengiraan yang telah dibuat.

Dari pengiraan yang kami lakukan, Malaysia akan mempunyai 118.688 mata, kebiasaannya dibundarkan kepada 119 mata. Tiada perbezaan jumlah mata yang dikutip jika angka bundar ini dibandingkan dengan kemaskini bulan Julai 2017.

 

Naik atau turun FIFA Ranking Ogos 2017?

Berdasarkan pengiraan, kami meramalkan Malaysia akan naik 1 anak tangga ke kedudukan 166, namun masih berada dibawah beberapa negara yang tidak ‘sinonim’ dengan sukan bola sepak seperti Bhutan, Papua New Guinea, Grenada dan lain lain.

Hong Kong juga tiada penambahan mata ranking, tetapi diramalkan akan jatuh 2 anak tangga kepada kedudukan 147 dan Iran juga dilihat akan turun 1 anak tangga dengan jumlah mata yang sama.

Kenapa Selalu Cerita Pasal Hong Kong & Iran dan Bukan Negara Lain?

Kami selalu menerima pertanyaan kenapa selalu ‘menyebut’ nama 2 negara ini jika bercerita mengenai FIFA Ranking, terutamanya tahun 2017 ini.

1) Hong Kong

Seperti semua sedia maklum, Malaysia dan Hong Kong sekarang sedang bersaing sengit untuk merebut 1 slot automatik peringkat kumpulan ke kejohanan kelab paling berprestij di Asia – AFC Champions League 2019/2020.

Jadi, adalah penting untuk kita sebagai penyokong bola sepak Malaysia untuk tahu bagaimana pergerakan naik turun FIFA Ranking mereka kerana inilah sahaja harapan yang tinggal untuk mempertahankan kedudukan AFC MA Ranking sehingga November 2017, disebabkan kedua-dua buah negara sudah tiada wakil dalam kejohanan kelab peringkat Asia yang boleh memberikan mata tambahan.

2) Iran

Pasukan No 1 di Asia.

Seperti yang diterangkan diatas, formula pengiraan AFC MA Ranking adalah menggunakan peratusan nisbah FIFA Ranking negara dengan pasukan No 1 Asia, 10% dikira dalam AFC MA Ranking.

Adalah perlu untuk kita sentiasa memantau pergerakan naik turun mata pasukan Iran bagi mengetahui sebarang perubahan yang mungkin memberikan impak kepada pasukan negara.

 

3 Perlawanan Persahabatan Bulan Ogos Sangat Penting!

Seperti yang diumumkan oleh laman web rasmi FAM, dimana pasukan kebangsaan dibawah kendalian Nelo Vingada akan mengadakan 3 perlawanan persahabatan “A” pada hujung Ogos 2017 nanti.

1) 22 Ogos 2017, Malaysia bertemu Syria di Melaka.
2) 25 Ogos 2017, Malaysia bertemu Macau di Macau.
3) 29 Ogos 2017, Malaysia bertemu Myanmar di Yangon.

Dalam 3 aksi perlawanan persahabatan ini, Malaysia seharusnya menggunakan peluang untuk mengutip mata maksima untuk ‘lebih menekan’ Hong Kong dalam perebutan slot AFC Champions League 2019-2020.

Tambahan pula, 5 September 2017, Malaysia akan bertemu Hong Kong di Melaka dalam perlawanan kelayakan akhir Piala Asia 2019.

Keseluruhannya, Malaysia perlu bijak bermain untuk tidak pulang dengan ‘tangan kosong’ dari semua 4 perlawanan akan datang ini terutamanya perlawanan bertemu Hong Kong, kerana status perlawanan itu adalah 2.5 kali ganda lebih besar dari perlawanan persahabatan.