Pertemuan di antara PJ City FC dan Johor Darul Ta’zim dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia, bakal menjadi pertemuan penting buat kedua-dua pasukan Liga Super musim ini.
Perlawanan yang bakal diadakan pada hari Rabu nanti dan dimainkan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin bukan sahaja mengenai tiga mata tetapi ianya lebih daripada itu.
Rekod kemenangan JDT yang tercalar pada saingan Liga Super setelah ditewaskan PJ City masih berbekas dan pasukan Harimau Selatan sedia untuk membalas.
Manakala bagi PJ City FC, mereka adalah musuh yang diam tetapi mampu untuk mencipta kejutan sekali lagi.
“Dari segi corak permainan kita masih akan sama, tetapi dalam bola sepak setiap perlawanan itu berbeza.
“Sebab kita dah buat dua kejutan (mengalahkan JDT), tetapi kali ketiga saya rasa bukan mudah untuk mengatasi pasukan itu.
“Dari segi formasi sama, tetapi mungkin kita perlu atur strategi mengikut kekuatan JDT.
“Jadi, mungkin dari segi idea utama tidak banyak berubah, kita ada strategi tertentu dalam kawasan padang,” katanya selepas menyaksikan anak buahnya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas PKNP FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.