MFL mengesahkan bahawa sebanyak 18 pasukan akan beraksi dalam Liga Super musim depan.
Ini bermakna, setiap pasukan akan beraksi sebanyak 34 perlawanan.
Dua pasukan akan disingkirkan di akhir musim 2023.
Tahun ini, dua pasukan paling bawah Liga Premier akan bersaing dengan 2 pasukan Liga M3 untuk slot ke-17 dan ke-18 Liga Super tahun 2023.
Namun wakil M3 wajib memenuhi kriteria pelesenan kelab MFL sebelum diterima masuk ke Liga Super.
Bagaimanapun, bermula musim 2024, penyingkiran akan dimansuhkan sekali gus menyaksikan hanya 16 pasukan akan beraksi dalam Liga Super.
Ini bermakna, setiap pasukan akan beraksi 30 perlawanan.
Malah, pasukan Liga Super dibenarkan mendaftar 9 pemain import bermula musim depan, dengan hanya 5 pemain dibenarkan beraksi dalam satu perlawanan dan satu pemain import di bangku simpanan.
Keputusan itu dibuat berdasarkan kriteria baharu yang ditetapkan AFC.
Liga Premier akan dimansuhkan dalam tempoh tertentu sebelum dilancarkan semula sebagai Liga Semi-Pro selepas program pembangunan kelab dilaksanakan bersama AFL untuk pasukan pasukan M3.
Liga Simpanan akan diperkenalkan sebagai liga yang bakal menjadi jambatan untuk memperbaiki jurang pembangunan dilihat dalam struktur liga tempatan.
Liga Simpanan ini juga bertindak sebagai landasan perantara Liga Super untuk pemain pemain mendapat minit permainan, adaptasi dan persediaan ke Liga Super.
Dengan itu, konsep Reserve Team akan berakhir dan kesemua pasukan Liga Super akan mempunyai pasukan B-23.
Pasukan Liga Simpanan hanya dibenarkan mendaftar 3 pemain import dan dua orang pemain berusia 23 tahun ke atas, dengan hanya 2 pemain import dibenarkan beraksi dalam satu perlawanan.
Pasukan Liga Simpanan juga diarahkan untuk menyenaraikan 16 pemain B-23 pada hari perlawanan.
Piala Presiden kekal untuk pemain B-21, Piala Belia untuk pemain B-19 dan Piala KPM untuk B-17.
Walaupun Liga Premier akan berhenti sementara, peluang pasukan M3 tidak ditutup sepenuhnya dengan peluang beraksi di Piala FA dan terbaharu peluang beraksi di pentas play-off Piala Malaysia sedang dikaji.
Bagi kelab-kelab amatur Liga M3 musim ini, mereka juga masih berpeluang beraksi dalam Liga Super 2023 di mana dua slot akan diberikan menerusi aksi play-off di antara pasukan juara dan naib juara Liga M3 musim 2022 dengan dua pasukan paling bawah Liga Premier.
Bagaimanapun, kelayakan kelab Liga M3 menyertai Liga Super musim ini ataupun musim-musim seterusnya wajib memenuhi syarat-syarat Peraturan Pelesenan Kelab dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah sebelum diterima masuk ke Liga Super.