Park Tae-su menjadi wira buat Sabah apabila menjaringkan dua gol sekali gus bangkit dari ketinggalan menewaskan Terengganu 2-1 dalam saingan Liga Super di Kota Kinabalu malam tadi.
Bagaimanapun, Sabah dikejutkan dengan gol pendahuluan Terengganu menerusi Manuel Ott dalam masa tambahan separuh masa pertama, selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam 45 minit pertama.
Namun, Sabah lebih agresif di separuh masa kedua dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan hasil tandukan Park Tae-su yang menyudahkan sepakan penjuru pada minit ke-72.
Park Tae-su menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-79 apabila tandukannya menerusi sepakan percuma melambung melepasi penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.
Kemenangan itu menyaksikan Sabah kekal di tangga kedua Liga Super setelah meraih 25 mata dalam 12 perlawanan, hanya beza satu mata di belakang JDT yang setakat ini hanya beraksi 10 perlawanan.
Pencabar terdekat Negeri Sembilan meraih 20 mata daripada 12 perlawanan, diikuti Kedah dengan 17 mata dalam 11 perlawanan dan Terengganu dengan 16 mata selepas 10 perlawanan.
📹 HIGHLIGHTS: @SabahFCofficial 2-1 @FCTerengganu
Manuel Ott menjaringkan gol pendahuluan untuk Terengganu FC namun Park Tae-su meledak dua kali pada babak kedua untuk kemenangan Sabah FC.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/yj80h0XGv1
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 19, 2022