Seolah-olah seperti ulangan perlawanan akhir Sukan SEA 2001 apabila Malaysia tewas kepada Thailand hasil daripada kesilapan penjaga gol yang tertampan bola ke gawang sendiri. Malam ini, tragedi itu berlaku sekali lagi kepada Haziq Nazli yang tertumbuk bola masuk ke gawang sendiri dan seterusnya memberikan kemenangan kepada pasukan Thailand.
Thailand berjaya mempertahankan pingat emas acara bola sepak yang dimenangi sejak tahun 2013. Hujan lebat sejak awal permainan merencatkan persembahan kedua-dua pasukan yang bermain dengan lebih berhati-hati. Tidak banyak percubaan berbahaya yang dapat dilakukan sepanjang tempoh 25 minit.
Malaysia memperolehi 2 peluang keemasan pada minit ke 25 ke atas menerusi percubaan pemain pertahanan, Adam Nor Azlin yang menanduk bola sepakan sudut daripada Safawi Rasid, namun tidak menepati sasaran. Peluang kedua yang hampir menemui jaringan gol adalah menerusi rembatan deras daripada Azam Azih pada minit ke-30 yang hanya sedikit melepasi palang gol.
Tindakan Safawi Rashid memberikan sepakan percuma kepada Thailand lalu memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-39 apabila penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli melakukan kesilapan tertumbuk bola sepakan sudut Sasalak Haiprakhon ke gawang sendiri.
Separuh masa kedua bersambung, Thailand memperolehi peluang keemasan untuk menjaringkan gol kedua tetapi Adam Nor Azlin menjadi penyelamat pintu gawang Malaysia apabila kuisannya berjaya menyelamatkan percubaan jarak dekat Worachit Kanitsribumphen.
Malaysia membuat 3 pertukaran dan terus menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan dengan beberapa gerakan dan peluang terbaik mereka muncul pada minit ke-78 menerusi rembatan Syazwan Andik Mohd Ishak yang sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol.
Gol penyamaan yang dicari tidak kunjung tiba, Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan yang amat pahit untuk ditelan hasil kesilapan sendiri dan gagal memecahkan kebuntuan jaringan hingga wisel penamat.