Sukan SEA

Gagal menang emas, Kim Swee tak salahkan penjaga gol

Tiada perkataan yang dapat menggambarkan betapa kecewanya pengendali skuad bola sepak Sukan Sea negara, Datuk Ong Kim Swee selepas pasukannya gagal memenangi pingat emas kecundang kepada Thailand 0-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Mungkin badi adalah perkataan tepat yang boleh menggambarkan senario skuad bawah 22 (B-22) apatah lagi ia skrip sama terjadi pada Sukan Sea 2001.

Deretan percubaan selain kemampuan skuad negara mendominasi perlawanan masih belum cukup untuk Harimau Muda memenangi perlawanan sebaliknya dihampakan dengan jaringan sendiri oleh penjaga gol, Haziq Nadzli.

Kata Kim Swee, pemainnya sudah memberikan segalanya namun berasa seolah-olah dihukum dengan kekalahan tersebut.

“Memang saya tak gembira apabila tak menang emas.Tetapi saya tahu pemain sudah memberikan segalanya.

“Kami beri cabaran kepada Thailand walaupun sedar mereka pasukan yang kuat. Namun, saya tidak tahu di mana silapnya apabila kami gagal mencipta gol selain kami tewas kerana gol sendiri,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Namun, Kim Swee enggan menyalahkan penjaga golnya yang memberikan gol kemenangan kepada Thailand.

“Memang sukar apabila situasi ini terjadi kepadanya.Tetapi dia tidak boleh dipersalahkan.Semua orang boleh buat kesilapan sebegitu,” katanya.

Justeru, Kim Swee mahu pemainnya pandang kehadapan dan melupakan kekalahan tersebut selain menumpukan kepada saingan AFC di China.

“Pemain menunjukkan aksi yang baik berbanding ketika kami tewas kepada Thailand 3-0 pada kelayakkan AFC di Bangkok bulan lalu.

“Kami perlu pandang ke hadapan untuk perlawanan di China nanti dan saya harap penyokong terus memberikan sokongan,” katanya.

 

sumber: Sinar Harian