Liga Super Malaysia Berita

Kurniawan Dwi Yulianto jurulatih baharu Sabah

Sabah akhirnya mengumumkan pelantikan jurulatih Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto sebagai pengendali baharu bagi saingan Liga Super musim depan.

Jurulatih berusia 43 tahun itu bakal menggantikan tempat Jelius Ating yang masih belum memiliki lesen kejurulatihan Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang diwajibkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk semua pasukan Liga Super.

Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony menganggap Kurniawan seorang jurulatih berpengalaman dan mampu membawa Sabah ke tahap yang lebih tinggi.

Kurniawan tidak asing dengan pasukan bolasepak di Malaysia kerana beliau merupakan bekas pemain Sarawak dan pernah beraksi menentang Malaysia ketika menyarung jersi Indonesia.

Tahun lalu, beliau dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia pada 2018 dan bertugas dibawah kendalian Indra Sjafri bagi mengendalikan skuad B-22 tahun yang memenangi pingat perak dalam temasya Sukan SEA 2019 di Filipina baru-baru ini.

Kurniawan akan dibantu oleh Sofie Imam Faizal yang dilantik sebagai jurulatih kecergasan untuk satu musim.

Beliau menjadi jurulatih kedua Indonesia yang pernah mengendalikan pasukan Liga Super selepas Rahmad Darmawan di T-Team.

Dalam perkembangan sama, revolusi di Sabah juga akan menyaksikan pemain Indonesia, Saddil Ramdani menyertai pasukan Tambadau tersebut sebagai pemain import Asean.