Liga Super Malaysia Berita

Selangor lantik MRCB, laksana pembaharuan Stadium Shah Alam bernilai RM787 juta

Kerajaan negeri Selangor melantik Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk melaksanakan pembangunan baharu Stadium Shah Alam dan fasilti sukan sekitarnya dengan kos ditetapkan sekitar RM787 juta.

Ini setelah stadium itu dilanda kontroversi selepas dilaporkan akan dirobohkan bagi membina stadium baharu, setelah mengalami pelbagai kerosakan termasuk bilik persalinan, bekalan elektrik, tempat duduk penonton ekoran tiga kejadian banjir pada 2006, 2015 dan tahun lalu.

Malah, tahun lalu, kos penggantian bumbung polikarbonat stadium itu menelan belanja antara RM500 hingga RM1,000 sekeping.

Bagaimanapun, projek ini akan dilaksanakan secara perkongsian awam-swasta dengan MRCB akan menanggung kos pembangunan tanpa menggunakan dana awam dan syarikat itu akan dianugerahkan pertukaran tanah kawasan sekitarnya untuk dibangunkan.

“MRCB dipilih berdasarkan kemampuan teknikal dan kewangan mereka, malah syarikat itu pernah terlibat dengan projek baik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2017 dengan kos berjumlah RM1 bilion,” kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kepada Bernama.

“Projek ini dijangka bermula seawal tahun hadapan dan dijangka siap pada 2026 seiring dengan pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 yang berdekatan dengan kawasan kompleks berkenaan.”

Pengumuman itu diikuti dengan majlis penyerahan surat niat (LOI) kepada MRCB selepas melalui proses yang panjang dan teliti bermula 2013 melibatkan 15 syarikat.

Kata Amirudin, satu pameran mengenai pembangunan kompleks itu akan diadakan pada September ini agar orang ramai dapat memahami rancangan pembangunan berkenaan dan turut boleh berkongsi maklum balas mereka di pameran itu.

“Stadium Shah Alam ini akan diinspirasikan berdasarkan Stadium Ajax Amsterdam dengan kapasiti sekitar 60,000 ke 70,000 penonton.”

Beliau turut memberikan penjelasan mengapa kos pembaharuan stadium itu bernilai lebih RM700 juta.

“Untuk menggantikan sahaja elemen tertentu, belum tentu secara keseluruhan. Strukturnya, pendawaiannya, perpaipan jadi kalau tanya saya, kita lebih yakin untuk bangunkan semula stadium itu.

“Stadium lain tidak sebesar Stadium Shah Alam dan tidak berdepan beberapa situasi seperti bencana banjir pada 2006, 2015 dan 2021. Banjir menyebabkan kerosakan pada beberapa perkara seperti bilik persalinan, sistem pendawaian elektrik, sistem bilik bekalan elektrik dan litar pintas yang tidak selamat untuk kita teruskan.

“Kita baikpulih lagi selepas banjir dan ia berlaku lagi. Ini membabitkan kos untuk menaikkan platformnya supaya tidak lagi akan terkena banjir pada masa depan. Sebab itulah kosnya jadi lebih kurang sehingga RM700 juta.

“Bukan sahaja membabitkan platform stadium yang lebih tinggi tetapi juga untuk sistem saliran yang lebih berkesan serta berkualiti. Untuk menggantikan sistem pendawaiannya menerusi penilaian pada 2013 pun, ia menelan kos sebanyak RM30 juta.

“Satu lagi perkara membabitkan polikarbonat (bumbung). Ia dari luar negara dan untuk menggantikan sekeping pun, minimum RM500 ke RM1000 kerana kos untuk gunakan kren bagi menggantikannya seperti yang kita buat pada 2017.

“Kita juga perlu mempertimbangkan mengenai isu perpaipan juga. Selepas 2013, kita nilai angkanya adalah RM350 juta, jadi ini satu angka yang besar pada waktu itu dan sekarang pun kos sudah meningkat.

“Kita gunakan pertimbangan untuk bangunkan semula dan cuba berusaha ke arah itu namun usaha itu terhenti pada 2019 kerana pandemik,” katanya.

Difahamkan, kos penyelenggaraan yang sudah dilaksanakan sejak 2013 menelan belanja sehingga RM56 juta untuk memperbaiki dan menaiktaraf bagi memulihkan keadaan Stadium Shah Alam daripada semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, projek pembangunan in akan menjadi satu perkongsian awam-swasta dengan penyelesaian menang-menang untuk semua. Di pihak kerajaan negeri, tiada dana awam yang akan digunapakai untuk projek ini.

“Usaha ini bukan sahaja berteraskan kelestarian kewangan tetapi juga kelestarian alam sekitar kawasan ini. Kami juga menjangkakan kesan limpahan ekonomi yang amat besar bukan sahaja di kawasan sekitarnya tetapi juga kepada negeri Selangor secara keseluruhannya.”