Malaysia Berita

Suatu Ketika : Jejak perpaduan dalam bola sepak

Bolasepak, adalah medan untuk menyebarkan perpaduan dan jambatan untuk menyatukan semua kaum terutamanya di negara Malaysia.

Itulah apa yang pernah diajarkan oleh kedua-dua datuk dan nenek Prakash Murugiah ketika masih muda dan cuba memahami dunia dari sudut pandang seorang kanak-kanak.

Prakash adalah individu yang bertanggungjawab dalam membikin filem Suatu Ketika yang menceritakan pahit getir rakyat Malaysia ketika kehadiran British ke tanah melayu.

Apa yang unik adalah cerita ini mengangkat bolasepak sebagai medium untuk menunjukkan perpaduan dan kemuafakatan yang ada di dalam diri setiap rakyat Malaysia ketika zaman sebelum kemerdekaan.

Latar masa yang diangkat pada 1952, Suatu Ketika bakal menjanjikan satu garapan baharu dalam memberi pengalaman yang berbeza buat penonton di mana ianya berkisar tentang sekumpulan kanak-kanak yang bersemangat untuk menewaskan pasukan lawan yang diwakili oleh pasukan elit British.

“Sukan, atau bola sepak, menyatukan semua orang, tanpa mengira kaum. Kami suka bola sepak. Kami mendengar cerita deri nenek dan bapa saudara kami mengenai bagaimana bersatunya orang-orang dahulu.

“Tidak ada perbezaan dan ia adalah sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang lebih kuat pada masa itu. Saya sangat suka bola sepak. Saya mahu melihat bagaimana saya mampu membawanya bersama dalam satu filem dan itulah bagaimana ia bermula,” kata Prakash, 37, seorang pengarah, penerbit dan juga penulis skrip.

Dibarisi oleh pelakon terbaik Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30), Nam ron dan Pekin Ibrahim, Suatu Ketika menceritakan tentang sekumpulan kanak-kanak di sebuah sekolah di Tanah Melayu, Sekolah Ujong Pasir yang turun menentang pasukan sekolah elit British, St. James dalam kejohanan JG Davidson Cup.

Prakash mempunyai alasannya tersendiri apabila memilih latar masa yang jauh kebelakang ketika zaman pemerintahan British.

“Pada hari ini, terdapat persepsi bahawa apabila anda melihat ‘Mat Salleh’, semua orang akan pergi ‘wow’, mesti ada sesuatu yang hebat tentang mereka. Saya tidak memandang rendah kepada mereka, tetapi cerita ini lebih kepada menunjukkan bahawa kita semua sama dan kita boleh mencapai kejayaan apabila kita bersatu. ”

Tambah beliau lagi, proses menulis skrip Suatu Ketika telah bermula pada tahun 2011 lagi di mana pengalaman Prakash digarap melalui temuramah bersama-sama dengan orang yang pernah hidup pada era 1950-an.

Beliau turut mengakui pernah berjumpa dengan tokoh sejarawan negara, mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

“Prof Khoo Kay Kim bertindak sebagai konsultan filem Suatu Ketika sejak dari mula. Saya banyak kali berjumpa dengan beliau selama beberapa tahun untuk memberikan kami gambaran tepat mengenai bahasa, budaya dan gaya hidup pada zaman pra-kemerdekaan,” jelas Prakash lagi.

Tambah beliau lagi, ianya penting buat rakyat Malaysia untuk datang dan menyaksikan filem ini bagi membolehkan mereka memahami perpaduan dan kemuafakatan daripada sudut pandang bolasepak.

“Suatu Ketika bukannya fasal bola sepak. Ianya fasal bagaimana kita boleh mencapai apa-apa sahaja objektif dan impian kita dengan bersatu-padu. Bola sepak hanya bertindak sebagai medium.” Katanya.

Suatu Ketika bakal mula ditayangkan pada 12 September di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.