Liga Super Malaysia Berita

Kedah pakai jersi pramusim kerana masalah penajaan

Kedah akan memakai kit jersi pramusim 2024-2025 buat sementara bagi tempoh sekurang-kurangnya 3 perlawanan pertama Liga Super susulan masalah penajaan.
Jenama jersi Kedah, AL Sports Sdn. Bhd. tidak akan mengeluarkan kit jersi perlawanan Liga Super sehingga penaja utama kelab disahkan.
“Ini berdasarkan muafakat bersama antara Kedah dan AL Sports Sdn. Bhd. dengan mengambil kira kos efektif dan pemasaran AL Sports Sdn. Bhd. dalam situasi menang-menang,” kata Pemangku CEO Kedah, Shahrul Samsudin.
“Slot penaja utama masih terbuka dengan pihak pengurusan kelab sedang giat menarik bakal penaja baharu sehingga satu tempoh yang ditetapkan.”
Jelasnya, pihak pengurusan kini menumpukan sepenuh perhatian dalam menarik pelabur dan penaja seterusnya mengenalpasti syarikat swasta berpotensi untuk bekerjasama bagi musim 2024/25.
“Walaupun kelab ini menerima maklumbalas positif berkenaan tawaran penajaan kelab, pihak pengurusan menempuh pelbagai cabaran dalam mengikat penaja utama untuk melancarkan perjalanan kelab bermula perlawanan Liga Super 11 Mei ini.
“Di peringkat awal pada bulan Februari, Kedah secara lisan menerima tawaran tajaan sebagai penaja utama kelab, namun langit tidak selalu cerah, berlaku insiden yang tidak diduga menyebabkan syarikat tersebut menghadapi masalah besar sehingga perniagaan syarikat tersebut merosot yang menyebabkan pihak kelab terpaksa menolak tawaran tajaan di saat akhir.
“Oleh sebab itu, proses pencarian penaja utama diteruskan yang mana ketika ini masih terbuka kepada mana-mana syarikat berminat.”
Difahamkan, Kedah memerlukan sekurang-kurangnya 8 hingga 10 juta bagi penajaan tersebut.