Malaysia Berita

Hamidin dilantik Presiden Kehormat FAM

Tan Sri Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM, walaupun baru sahaja melepaskan jawatan Presiden pada awal Februari tahun ini.

Pelantikan itu diluluskan Kongres Luar Biasa FAM 2025 hari ini selepas dicadangkan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Artikel 22 Statut FAM membolehkan Kongres FAM menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM atau Ahli Kehormat FAM kepada mana-mana individu yang telah memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan bola sepak.

Hamidin boleh menghadiri Kongres FAM serta menyertai perbahasan, namun tidak mempunyai hak untuk mengundi.

Peranan Presiden Kehormat FAM

Memberi Nasihat kepada Badan-badan Utama FAM

Presiden Kehormat FAM bertindak sebagai penasihat berpengalaman kepada Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Tetap, Ahli Gabungan serta Sekretariat Agung FAM. Dalam kapasiti ini, beliau boleh memberi pandangan strategik dan nasihat berasaskan pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Tetap FAM

Presiden Kehormat FAM boleh menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif serta Jawatankuasa Tetap FAM.

Duta Rasmi FAM

Presiden Kehormat FAM juga berperanan sebagai wakil atau duta rasmi FAM, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Beliau boleh mewakili FAM dalam pelbagai acara rasmi, persidangan, seminar, pertemuan diplomatik sukan dan majlis pelancaran inisiatif atau projek FAM.

Peranan Tambahan

Presiden Kehormat FAM juga boleh diberikan tugas atau tanggungjawab tambahan yang bersesuaian, bergantung kepada keperluan semasa dan setelah mendapat persetujuan Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Kali terakhir Kongres FAM melantik Presiden Kehormat FAM ialah pada 2014 kepada Sultan Ahmad Shah yang telah berkhidmat sebagai Presiden FAM selama 3 dekad, dari tahun 1984 hingga 2014.