Malaysia Berita

Enam pasukan Liga Malaysia berhutang lebih RM2 juta

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan enam pasukan yang bersaing di Liga Malaysia menyelesaikan tunggakan gaji serta pampasan melibatkan lebih RM2 juta kepada tujuh staf kejurulatihan dan 11 pemain masing-masing dalam tempoh 30 hari mulai hari ini.

Enam pasukan tersebut adalah Kelantan, PJ Rangers, ATM FA, Pulau Pinang, Terengganu City FC (TCFC) dan Kuantan FA.

Menurut FAM, Kuantan menjadi pasukan paling bermasalah apabila berhutang sehingga RM741,000 termasuk tunggakan gaji seorang pemain Abdul Malik Mat Ariff sebanyak RM70,000, selain lima pegawai kejurulatihan.

“Tuntutan juga dikemukakan oleh lima pegawai kejurulatihan terhadap Kuantan FA berhubung gaji dan/atau pampasan kontrak melibatkan Ismail Zakaria (RM100,000 gaji, RM200,000 pampasan kontrak); Mohd. Shukri Ismail (RM96,000 gaji); Rusdi Suparman (RM60,000 gaji); Mohd. Faris Ismail (RM24,000 gaji, RM48,000 pampasan kontrak); serta Azlisham Ib Berahim (RM52,000 gaji, RM91,000 pampasan kontrak),” katanya.

ATM pula masih belum menyelesaikan hutang terhadap bekas pemain importnya, Abdulafees Abdulsalam yang menuntut tunggakan gaji seba­nyak AS$180,000 (RM731,000).

Ini diikuti Pulau Pinang melibatkan tunggakan gaji RM377,000 kepada lapan pemainnya iaitu Mafry Balang sebanyak RM76,000; Mu­hamad Faizat Mohamad Ghaz­li (RM48,000); Sani Anuar Kamsani (RM80,000); Muhammad Rafiuddin Roddin (RM60,000); K. Reuben Thayaparan (RM40,000); Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (RM28,000); Shazalee Ramlee (RM25,000) dan Syed Adney Syed Hussein (RM20,000).

Bekas jurulatih kebangsaan, Mat Zan Mat Aris pula menuntut pampasan baki kontrak selaku jurulatih PJ Rangers sebanyak RM330,000.

Kelab Liga FAM, TCFC pula diarahkan membayar tunggakan gaji RM60,000 dan pampasan baki kontrak sebanyak RM120,000 kepada jurulatih Roshadi Wahab.

Tuntutan juga dibuat pemain Mohd. Noor Hazrul Mohd. Mustafa terhadap KAFA berhubung tunggakan gaji berjumlah RM55,000.

Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2017-2021 pada 25 Julai 2018 memutuskan jika kesemua pasukan itu gagal membayar tuntutan tersebut, kes berkenaan akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.