Kajian & Analisis Luar Negara

7 bintang bolasepak terbesar yang pernah gagal melepasi ujian doping

Dalam dunia sukan termasuk bola sepak, ujian doping merupakan perkara biasa, lebih-lebih lagi selepas tamat sesebuah pertandingan. Ia bagi memastikan keadaan seseorang pemain bebas daripada sebarang bahan-bahan terlarang.

Terdapat beberapa pemain yang sangat menitikberatkan aspek ini. Seperti Andrea Pirlo, dia akan menghubungi doctornya terlebih dahulu untuk mendapatkan sebarang bahan walaupun minuman. Malangnya, tidak semua pemain bola sepak memiliki tahap disiplin sebegitu. Jadi, kes-kes doping melibatkan pemain bola sepak sentiasa ada.

Baru-baru ini, badan antidoping di Itali menjatuhkan hukuman penggantungan buat pemain Cagliari yang berasal dari Brazil, Joao Pedro. Dia gagal melepasi ujian yang dijalankan selepas aksi bertemu Sassuolo pada 11 Februari, selepas zat jenis diuretic hydrochlorothiazide – yang sering digunakan untuk mengatasi tekanan darah tinggi tetapi dilarang di dalam dunia sukan – ditemui di dalam badannya.

Situasi itu membuatkan jumlah pemain bola sepak yang gagal ujian doping semakin bertambah. Berikut adalah antara pemain yang turut pernah gagal melepasinya:

Marco Borriello

Pemain yang kini mewakili SPAL 2013 ini positif ujian doping ketika mewakili AC Milan pada 2006/07. Dia terbukti mengambil bahan terlarang jenis prednisolone dan prednisone. Borriello mengaku bahan tersebut digunakan selepas dijangkiti penyakit seksual daripada pasangannya ketika itu. Akibatnya, dia digantung selama dua bulan.

Darijo Srna

Kisah Srna sangat mengejutkan. Mewakili Shaktar Donetsk tetapi kini kelibatnya tidak boleh dilihat buat sementara waktu kerana sedang menjalani proses penggantungan selama 17 bulan selepas didapati mengambil bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi fizikal, dehydroepiandrosterone. Srna hanya akan kembali beraksi pada Ogos depan.

Samir Nasri

Ketika bersama Sevilla, pemain berusia 30 tahun itu telah melakukan antara kesilapan paling besar di dalam kariernya. Nasri dihukum penggantungan enam bulan selepas meminum cecair Immunity IV Drip pada 2017 dan ia menjadi kesalahan kerana dia mengambil cecair yang mengandungi micronutrient itu melebihi had yang disyorkan. Mengapa dikira kesalahan besar? Dia turut mempromosikan produk tersebut.

Mamadou Sakho

Pertahanan yang kini menyarung jersi Crystal Palace ini berdepan isu doping ketika bersama Liverpool pada April 2016. Dia didapati menggunakan bahan pembakar lemak dan digantung selama 30 hari oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA). Bagaimanapun, kes tersebut ditutup kerana ubat yang diambil terbukti tidak mengandungi bahan terlarang.

Edgar Davids

Pemain yang terkenal dengan jolokan Pitbull ini pernah didapati bersalah bagi isu doping ketika mewakili Juventus selepas menggunakan nandrolone anabolic steroid. Setelah gagal pada ujian kedua, dia dijatuhkan hukuman gantung selama dua tahun, namun akhirnya dikurangkan kepada empat bulan sahaja.

Rio Ferdinand

Kes Ferdinand antara kes paling aneh pernah wujud dalam dunia bola sepak. Akibat “lupa” untuk menghadiri ujian doping, benteng Manchester United ini dikenakan hukuman penggantungan selama lapan bulan. Sehari selepas tarikh ujian itu, dia melalui proses tersebut dan lulus tetapi pihak Persatuan Bolasepak England (FA) menolak permintaannya, walaupun dia bersedia memberikan sampel rambut. Akhirnya, dia terlepas menyertai skuad Three Lions ke Kejohanan Eropah (EURO) 2004.

Adrian Mutu

Walaupun pernah berdepan hukuman akibat penggunaan cocaine pada 2004, Mutu kembali terjerat dengan dadah terlarang apabila didapati menggunakan bahan jenis sibutramine milik ibunya untuk diet semasa bersama Fiorentina pada 2010. Dia digantung selama enam bulan dan dilaporkan gajinya disekat sepanjang tempoh tersebut.