Malaysia Liga Super Malaysia

Ferdinand Sinaga sah dilepaskan oleh Kelantan, bakal kembali ke PSM Makassar?

Kelantan telah secara rasmi bersetuju untuk menamatkan kontrak Ferdinand Sinaga atas permintaan bintang Indonesia itu sendiri, selepas hanya dua lima perlawanan Liga Super Malaysia.

Pemain skuad kebangsaan Indonesia itu gagal memberi sebarang impak positif dalam lima perlawanan Liga Super bersama Kelantan, dan spekulasi berkenaan masa depannya mula muncul selepas Ferdinand tidak diturunkan dalam perlawanan Piala FA menentang PKNS FC, minggu lepas.

Namun, presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) semalam mengesahkan bahawa Ferdinand telah dilepaskan atas faktor peribadi dan penyerang Indonesia itu tidak menuntut sebarang bayaran pampasan.

“Dia memilih untuk keluar lebih awal daripada pasukan ini tanpa menuntut apa-apa pampasan. Kontrak dia berakhir hari ini dan Kafa melunaskan gaji penuh dia untuk bulan ini.

“Dia menunjukkan sikap tolak ansur dan kita sangat menghargai tindakannya. Kafa mengucapkan terima kasih di atas sumbangannya walaupun hanya tempoh singkat dia beraksi bersama Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian.

Berita ini telah menarik perhatian beberapa pasukan di Indonesia, termasuk Persija Jakarta dan juga Persib Bandung. Namun, Ferdinand dijangka kembali ke pangkuan kelab lamanya sebelum ini, iaitu PSM Makassar. Kelab tersebut kini dikendalikan oleh bekas jurulatih Sarawak, Roberts Alberts.