Kolum Luar Negara

Bagaimana isu kemurungan sedang membelenggu karier Andre Gomes di Barcelona

Bermain untuk Barcelona mungkin menjadi impian bagi setiap pemain bola sepak. Skuad Catalonia itu tentunya salah sebuah pasukan terbaik dunia ketika ini. Peluang beraksi disamping Lionel Messi membuatkan mereka teruja.

Bagaimanapun, tidak semuanya begitu. Tekanan ketika menyarung jersi Barca kadangkala terlalu tinggi sehingga mewujudkan kekecewaan. Contohnya, Andre Gomes.

Ketika sesi temubual bersama media Sepanyol, Panenka, Gomes baru-baru ini, menyifatkan bahawa tekanan yang diterima di Camp Nou membuatkannya tidak gembira dan gagal menikmati aksi bola sepak.

“Saya merasa tak gembira ketika bermain. Saya tidak menikmatinya seperti apa yang dirasakan sebelumnya. Enam bulan pertama masih bagus, kemudian keadaan berubah. Ini mungkin bukan kata yang tepat, namun situasi ketika ini terasa seperti neraka bagi saya kerana saya menghadapi tekanan yang begitu besar. Saya sebenarnya terbiasa dengan tekanan, namun di sini ia begitu besar. Sukar untuk saya menikmati bola sepak pada waktu ini” kata Gomes.

Gomes hadir pada awal musim 2016/2017 dari Valencia dengan yuran perpindahan mencapai 35 juta EURO. Jumlah yang tinggi hasil aksi meyakinkan pada waktu itu membuatkan harapan besar diletakkan di bahunya tetapi sehingga hari ini, dia tampak gagal membuktikan pelaburan itu berbaloi. Disebabkan itu, dia menerjna ejekan daripada penyokong-penyokong Blaugrana.

Pemain berusia 24 tahun itu mendedahkan bahawa setiap kritikan negatif daripada peminat Barca membuatkan kehidupannya di Sepanyol menjadi lebih sukar.

“Saya selalu tidak mahu keluar dari rumah kerana orang ramai akan memandang saya dengan pelik. Apabila berbual mengenainya dengan rakan-rakan, saya terasa malu dan ia menyakitkan hati.”

Nasib Gomes masih baik kerana dia tetap menerima sokongan daripada rakan sepasukan termasuk pengurus, Ernesto Valverde, tetapi tetap tidak dapat mengelak daripada melalui sesi latihan yang tidak sempurna.

“Di sesi latihan, saya merasa bagus dengan rakan-rakan yang lain. Tentu saja ada hari-hari ketika saya tidak merasa percaya pada diri dan melalui sesi latihan yang buruk. Mungkin itu disebabkan oleh pemikiran saya yang masih tersangkut pada perlawanan sebelumnya. Saya tidak dapat berfikir ke depan. Walaupun mereka membantu tetapi ia tidak seperti apa yang diharapkan.

Cerita Gomes pastinya memberikan sudut pandangan lain ketika berbicara tentang Barcelona. Tidak dinafikan, beraksi pada krlab besar sebegitu membuktikan aras seseorang bintang bola sepak tetapi mereka juga oerlu memiliki kekuatan mental. Tatkala Gomes kini sering diletakkan di bangku simpanan oleh Valverde, perpindahan keluar dari Camp Nou mungkin jalan terbaik untuknya.