Berita Kolum

Dalian Yifang: Kisah sebuah pasukan yang sedang diketawakan orang ramai di China

Baru dinaikkan ke Liga Super China, Dalian Yifang membuktikan mereka serius untuk bersaing apabila aktif dalam pasaran perpindahan pemain bagi musim 2018.

Pasukan yang dikenali dengan nama jolokan Blue Gawks ini mendapatkan beberapa bintang bola sepak yang terkenal dari Eropah. Antaranya adalah pemai Belgium, Yannick Carrasco, tonggak pertahanan Portugal, Jose Fonte, serta Nicolas Gaitan (Argentina). Kehadiran mereka diharapkan dapat menambahkan kekuatan pasukan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Tindakan Yifang itu secara tidak langsung telah menambahkan tekanan daripada pihak pengurusan dan juga penyokong-penyokong sendiri. Namun, tiga pemain tersebut nyata belum bersedia untuk memikul beban besar itu di bahu mereka.

Dalam tiga perlawanan yang diserta sejak naik ke Liga Super, Yifang tidak ubah seperti pasukan yang tiada hala tuju sehingga membuatkan orang ramai hanya mampu mentertawakan mereka. Ini disebabkan oleh corak permainan mereka yang amat buruk walaupun telah berbelanja besar.

Selepas tewas di tangan Shanghai SIPG dan Guangzhou R&F, prestasi buruk Yifang diteruskan dengan kekalahan ketiga apabila pertemuan dengan Beijing Guoan berakhir dengan keputusan 0-3 walaupun beraksi di laman sendiri.

Biarpun di atas kertas, Yifang menyediakan barisan nama besar di bahagian serangan seperti Carrasco dan Gaitan tetapi sehingga kini, mereka belum menjaringkan sebarang gol.

Kehadiran Fonte di barisan bawah juga tampak tidak memberikan sebarang kesan apabila mereka sering mudah ditembusi sehingga selepas tiga kali beraksi, mereka telah dibolosi lebih 10 kali, membuatkan mereka terperosok di kelompok bawahan liga tanpa sebarang mata.

Jangan terperanjat sekiranya anda mendengar sebarang berita yang menjada bahan jenaka melibatkan Dalian Yifang. Jika gagal mencetus kebangkitan dari segi prestasi, kemungkinan besar skuad yang berpangkalan di Stadium Dalian Sports Center ini akan mengalami turun naik liga setiap musim.