Luar Negara Eropah

“Ronaldo, Messi, Ronaldinho” – Tujuh ‘Raja Ole’ terbesar dalam dunia bola sepak

Salah satu aksi menarik untuk disaksikan dalam dunia bola sepak adalah ‘ole’ atau lebih dikenali sebagai nutmeg. Nutmeg adalah satu teknik dimana pemain cuba melepasi halangan dengan melepaskan bola melalui dua belah kaki lawan.

Dalam perlawanan bola sepak amatur atau berskala kecil, aksi nutmeg perlu disusuli dengan persalaman, namun di peringkat dunia, gaya teknikal itu sudah pasti akan membuatkan penonton bersorak dan terpesona.

Terdapat beberapa pemain bola sepak terkenal yang sangat sinonim dengan teknik tersebut. Berikut adalah sebahagian daripada mereka.

Lionel Messi

Nama Messi tidak perlu diperkenalkan lagi. Dia sering melakukan nutmeg tidak kira ketika saingan LaLiga atau Liga Juara-Juara Eropah. Paling terbaru, dia melakukannya ketika aksi timbal-balik pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Chelsea di Camp Nou. Dia menjaringkan dua gol dan kedua-duanya melepasi kedua-dua kaki penjaga gol, Thibaut Courtois.

Franco Vazquez

Nadi utama Sevilla yang berasal dari Itali ini mungkin bukan nama besar dalam dunia bola sepak tetapi jika berbicara soal nutmeg, dia muncul antara yang terbaik. Ketika menewaskan Manchester United baru-baru ini, dia melakukannya terhadap Alexis Sanchez. Bagaimanapun, ada situasi yang lebih hebat. Ketika beraksi buat Palermo, dia pernah melakukan nutmeg sebanyak tiga kali berturut-turut. Sangat luar biasa!

Juan Roman Riquelme

Riquelme adalah salah seorang legenda bola sepak. Walaupun pernah dikatakan seorang pemain yang malas, namun aksi yang ditampilkan sentiasa memukau penonton. Dia juga sangat hebat dalam menghasilkan nutmeg yang sempurna. Salah satu detik yang paling diingati adalah ketika mewakili Boca Juniors, dimana Charles Perez menjadi mangsanya.

Cristiano Ronaldo

Ronaldo tidak dapat dinafikan status sebagai antara pemain terbaik dunia sepanjang zaman. Pastinya, dia tidak ketinggalan berbanding Messi dalam melakukan nutmeg. Bintang Real Madrid ini cukup terkenal dalam mempermainkan benteng-benteng di seluruh dunia.

Luis Suarez

Suarez adalah salah seorang penyerang yang berkemahiran tinggi. Terkenal dengan rekod jaringan yang hebat, dia juga diakui memiliki kebolehan nutmeg yang bagus. Antara yang pernah menjadi mangsanya adalah David Luiz, pertahanan hebat dari Brazil. Luiz terpaksa menelan kepahitan itu sebanyak dua kali ketika perlawanan melibatkan Barcelona dan Paris Saint-Germain pada dua tahun lalu.

Adel Taarabt

Taarabt merupakan pemain yang mempunyai teknik yang bagus tetapi malangnya dia tidak berjaya mencapai tahap terbaik dalam bola sepak. Salah satu aksi nutmeg terbaik yang pernah dihasilkan adalah ketika bertemu Tottenham Hotspur. Ternyata reaksi rakan sepasukan, William Gallas, menceritakan segalanya.

Ronaldinho

Jika wujud makhluk asing yang hadir ke bumi untuk menonton bola sepak, pastinya Ronaldinho menjadi pilihan mereka. Legenda dari Brazil ini merupakan antara pemain terbaik pernah wujud. Dia memiliki hampir kesemua teknik yang diimpikan pemain bola sepak termasuk nutmeg. Pernah meraih hampir semua kejuaraan yang dipertandingkan di Eropah, Ronaldinho jelas berada dalam kelas tersendiri.