Luar Negara Eropah

Kenali kelab-kelab yang berpeluang dinaikkan ke Serie A musim 2018/19

Selepas sebelum ini membincangkan tentang pasukan-pasukan yang mampu melayakkan diri ke pentas Liga Perdana Inggeris, kali ini Football Tribe akan mendedahkan kepada anda beberapa pasukan yang berpeluang untuk bersaing dalam Serie A pada musim depan. Berbeza dengan Liga Perdana Inggeris, Serie B menawarkan enam tempat bagi mengisi slot play-off.

Situasi itu bermaksud sebanyak dua kelab yang mendapat tiket terus ke liga tertinggi Itali, enam pasukan lain akan mempertaruhkan nasib di peringkat play-off. Selain persaingan yang sengit, kelab-kelab di Itali juga dilihat memiliki lebih banyak sejarah serta sejarah tersendiri.

Berikut adalah antara pasukan yang berkemungkinan dapat melayakkan diri ke Serie A pada musim depan:

Empoli

Kelab yang pernah dibimbing oleh Maurizio Sarri dilihat hanya meluangkan masa selama semusim di Serie B. Mereka kini mengetuai carta liga dengan 54 mata, sambil merakamkan jaringan terbanyak dengan 62 gol. Lebih daripada separuh gol tersebut disumbat oleh penyerang utama, Francesco Caputo (21 gol) dan Alfred Donnarumma (15 gol).

Frosinone

Pesaing terdekat Empoli untuk mengungguli Serie B. Frosinone hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu dan baru sahaja terlepas kejuaraan pada musim lalu. Skuad Gialloazzurri kini mempertaruhkan nasib untuk ke Serie A berbekalkan majoriti tenaga tempatan, selepas kali terakhir bersaing di peringkat tertinggi pada musim 2015/16, susulan perbezaan jaringan -41 yang dicatatkan pada musim itu.

Palermo

Sebuah pasukan yang hanya selangkah untuk mengesahkan tempat di Serie A. Mereka menghuni tangga ketiga dan dibolosi paling sedikit dengan jumlah 25 gol. Pasukan yang pernah dibimbing oleh Gennaro Gattuso itu berpeluang untuk mencuri tiket automatik ke Serie A selepas dibezakan tiga mata dengan Forsinone. Cuma persoalan yang timbul adalah, sejauh mana pengurus mereka dapat bertahan?

Cittadella

Antara kejutan Serie B musim ini. Cittadella mendapatkan kedudukan keempat liga selepas mencatat sembilan kemenagan, tiga seri dan tiga kalah. Rekod di laman sendiri tidak begitu meyakinkan kerana dalam lima pertemuan terakhir, empat daripadanya berakhir dengan seri. Salah sebuah pasukan yang dianggap anti-mainstream.

Venezia

Venezia mengalami proses bankrap ketika musim 2009/10 akibat krisis kewangan dan hanya kembali aktif sejak 2013/14. Namun, dalam tiga musim terakhir, mereka berkembang dengan baik. Walaupun beraksi di Serie D pada musim 2015/16, skuad Arancioneroverdi tampil konsisten memenangi setiap gelaran sehingga menduduki tangga kelima Serie B musim ini. Apa yang menarik, mereka kini dikendalikan oleh legenda Itali, Filippo Inzaghi.

Bari

Bari terkeluar daripada saingan tertinggi Itali selama tujuh musim dan kini berpeluang untuk kembali ke Serie A. Menduduki tangga keenam liga, kedudukan bari dalam kelompok play-off tampak selamat selepas dibezakan lima mata dengan skuad tangga kesembilan, Cremonese. Mereka mempunyai jumlah pemain asing terbanyak pada musim ini dengan 13 pemain termasuk bekas bintang muda Lazio, Libor Kozak.

Parma

Pasukan paling mencuri tumpuan. Bekas jaguh Serie A itu kini berada di kedudukan ketujuh Serie B. Walaupun segalanya tampak samar, mereka tetap mampu merealisasikan impian kembali ke Serie A menerusi tiket play-off. Daripada 14 aksi di laman sendiri, mereka hanya dibolosi sembilan kali, jumlah paling sedikit bersama Spezia dan Venezia.

Perugia

Kali terakhir Perugia beraksi di pentas Serie A, liga tertinggi itu hanya melibatkan 18 pasukan (tiga slot penyingkiran, satu slot play-off) pada musim 2003/04. Ketika itu, mereka menduduki tangga ke-15 sebelum tewas di tangan Fiorentina ketika play-off dan sejak itu, mereka tidak lagi kembali. Tiga tonggak utama Perugia pada musim ini adalah Nicola Leali, Alessandro Diamanti dan Paolo Hernan Dellafiore.

Dua lagi pasukan lain

Melihat kepada 43 mata yang dipegang Perugia, hanya ada dua kelab yang berpotensi untuk cuba mendapatkan tempat dalam slot play-off, iaitu Cremonese dan Spezia (kedua-duanya meraih 40 mata) sementara Carpi (39 mata), Foggia dan Salernitana meraih 37 mata, membuatkan laluan cukup sukar buat mereka.