Kolum Eropah

Lima perpindahan merugikan musim ini

Jendela perpindahan yang lepas menyaksikan beberapa sejarah telah tercipta. Perpindahan pemain ini juga membuktikan bahawa wang bertindak sebagai kunci kepada kejayaan perpindahan tersebut. Namun, ada beberapa faktor yang akan mempengaruhi pemain sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah ke destinasi baru.

Antaranya ialah peluang untuk bermain dalam kesebelasan utama, status pasukan, dan potensi untuk mengembangkan bakat. Selalunya pemain lebih percaya untuk berpindah ke pasukan yang lebih besar demi untuk bersaing dengan pasukan yang beraksi di dalam liga kompetitif.

Walaubagaimanapun, tidak semua penghijrahan pemain akan memberi kesan positif dalam masa yang singkat. Kadangkala pemain yang baru menyertai pasukan baru akan mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri sebelum menonjolkan persembahan di tahap sebenar.

Berikut merupakan senarai lima pemain pilihan yang masih belum mempamerkan hasil yang berbaloi buat pasukan masing-masing.

1.Harry Maguire (Manchester United)

(Photo by Ash Donelon/Manchester United via Getty Images)

Perpindahan Harry Maguire telah mencipta sejarah dunia apabila dinobatkan sebagai pemain pertahanan termahal di dunia dengan harga 80 juta mengatasi harga pertahanan tengah Liverpool, Virgil van Dijk yang berharga 75 juta. Harga yang jelas terlalu mahal ini mungkin berpunca daripada kualiti Maguire yang turut menyarung jersi pasukan England dan mampu untuk menghasilkan gol. Penampilan pertama bersama The Red Devils dilihat begitu bergaya dengan kemenangan 4-0 keatas Chelsea di Old Trafford. Namun yang demikian, Maguire gagal membantu United untuk meneruskan kecemerlangan apabila hanya mencatat dua kemenangan, tiga kekalahan, dan lima seri pada 10 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan. Andai kata Maguire masih bersama Leicester City pada hari ini, mungkin nasibnya lebih berbeza kerana Leicester kini di tangga keempat, manakala United jatuh ke kedudukan ke-12.

2.Nicolas Pepe (Arsenal)

(Photo by David Price/Arsenal FC via Getty Images)

Pemain sayap antarabangsa Ivory Coast ini mencuri perhatian dalam saingan Liga di Perancis bersama pasukan Lille. Pada musim lepas, Pepe telah menjaringkan 22 gol dan menghasilkan 11 bantuan gol. Satu pencapaian yang mengagumkan buat seorang pemain di barisan serangan. The Gunners yang buntu setelah pemergian satu persatu pemain ke pasukan lain, tidak menunggu lama untuk menyambar pemain ini. Indah khabar dari rupa, prestasi Pepe sejak penampilan pertama menentang Newcastle United berada di tahap yang membimbangkan. Memegang status rekod perpindahan termahal dalam sejarah pasukan Arsenal, Pepe seharusnya bersaing secara sihat dengan Pierre Emerick Aubameyang bagi membuktikan ketajaman serangan Arsenal selepas membuat pelaburan besar. Gol pertamanya bersama Arsenal sekadar melalui sepakan penalti pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa. Pepe sudah hilang magis atau terlalu awal untuk menilai?

 

3.Eden Hazard (Real Madrid)

(Photo by Matthias Hangst/Bongarts/Getty Images)

Bekas tonggak utama Chelsea, Eden Hazard mengambil keputusan untuk berkelana ke pasukan baru iaitu Real Madrid dengan tanda harga bernilai hampir 100 juta. Kualiti Hazard diatas padang tidak dapat dinafikan dan harga yang diletakkan sememangnya logik dan masuk akal. Pemain antarabangsa Belgium ini hanya berjaya menyumbang satu gol dan satu bantuan gol selepas enam perlawanan termasuk dua perlawanan saingan kumpulan Liga Juara-Juara Eropah. Skuad Los Blancos pula masih menagih sentuhan pemain lama seperti Karim Benzema dan Gareth Bale untuk terus kekal bersaing dalam perebutan takhta liga. Adakah ini permulaan untuk bilangan jaringan gol yang lebih banyak selepas ini?

 

4.Moise Kean (Everton)

(Photo by Emma Simpson – Everton FC/Everton FC via Getty Images)

Pemain muda Itali ini mengambil keputusan yang diluar jangkaan apabila meninggalkan Juventus untuk menyertai Everton. Harga pemain ini yang mencecah 45 juta dilihat berpotensi untuk membantu menguatkan barisan serangan The Toffees. Selepas lapan perlawanan liga, Kean hanya mampu menghasilkan satu bantuan gol. Kerap kali diturunkan sebagai pemain gantian mungkin menjadi faktor utama pemain ini kurang menjadi. Berbeza dengan impak ketika bersama Juventus yang mana Kean mampu menghasilkan enam jaringan daripada 13 penampilan. Adakah pemain ini mampu untuk menyinar jika diberi lebih minit beraksi? 

 

5.Ayoze Perez (Leicester City)

(Photo by Plumb Images/Leicester City FC via Getty Images)

Bekas penyerang Newcastle United ini kurang menyerlah bersama pasukan baru walaupun beberapa kali diberi peluang untuk bermain sebagai kesebelasan utama. Leicester membeli pemain ini yang bernilai 30 juta hanya untuk menyaksikan Perez menyumbang satu gol dan satu bantuan gol dalam tujuh penampilan. Perez perlu sedar akan saingan dalam pasukan Leicester seperti James Maddison, Youri Tielemans, Harvey Barnes, Marc Albrighton, dan Hamza Choudhury yang bila-bila masa sahaja mampu merebut tempat dalam skuad utama Brendan Rogers. Andai Perez terus-menerus dengan persembahan yang kurang meyakinkan, makan tidak mustahil untuk melihat pemain ini akan memanaskan bangku simpanan.