Malaysia Berita

Hang Seo bimbang bertemu Malaysia

Vietnam akan melayan kunjungan Malaysia dalam saingan kumpulan G pada khamis ini. Malaysia mendahului Vietnam selepas mengutip tiga mata dalam dua perlawanan, manakala Vietnam hanya mengutip satu mata daripada satu perlawanan.

Perbezaan yang amat ketara jika dilihat pada ranking kedua-dua pasukan. Vietnam kini menghuni tangga ke-99 dan merupakan pasukan negara Asean yang terbaik dalam ranking dunia. 

Memetik laporan New Straits Times, pengendali utama Vietnam, Park Hang Seo agak bimbang melihat ketajaman barisan serangan skuad Harimau Malaya yang dikemudi Norshahrul Idlan Talaha, Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh, dan Syafiq Ahmad.

Berbeza pula dengan barisan serangan Vietnam yang dilihat sedikit tumpul pada tahun ini. Mereka menaruh harapan kepada pemain-pemain seperti Nguyen Van Toan, Nguyen Cong Phuong, Nguyen Anh Duc dan Nguyen Tien Linh.

Photo by Stringer / Lagardere Sports

Malah pembantu Park Hang Seo, Lee Young Jin turun menonton sendiri persembahan anak buah Tan Cheng Hoe ketika aksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mereka dapati pasukan Malaysia pada hari ini jauh lebih baik berbanding ketika bertemu dalam saingan akhir Piala AFF tahun lepas. 

Skuad Harimau Malaya terbang ke Hanoi tanpa beberapa tonggak utama seperti Nor Azam Azih, Shahrel Fikri, dan J. Partiban yang mengalami kecederaan ketika beraksi bersama pasukan masing-masing dalam saingan suku akhir Piala Malaysia 2019. Namun, kehadiran pemain berpengalaman iaitu Aidil Zafuan diharap dapat membantu barisan pertahanan negara yang turut dikemudi Shahrul Saad.