Liga Super Malaysia Kolum

Ishak Kunju: Dari Air Panas ke Liga Super

Pelantikan sebagai ketua jurulatih PDRM sebenarnya merupakan satu penghormatan kepada Ishak Kunju.

Pada 10 tahun lalu, beliau merupakan jurulatih kelab Air Panas, sebuah kelab amatur yang berpusat di Setapak, Kuala Lumpur.

Tidak ramai yang tahu juga, beliau menerajui skuad Piala Presiden Kuala Lumpur sekitar tahun 2013.

Ketika itu, pasukannya bergelut dan berada di kedudukan bawah liga, dan terpaksa bertandang ke Selangor di Shah Alam yang unggul di tangga teratas liga.

Namun, skuad kendalian Ishak mengejutkan tuan rumah apabila menjaringkan dua gol tanpa balas.

Ishak cukup gembira ketika itu, dan jurulatih skuad Piala Presiden Selangor, Rosdi Suparman enggan bercakap dengan media dan terus ke bilik persalinan.

Ia mungkin satu kenangan yang kecil tapi indah buat Ishak.

Tiga tahun kemudian, Ishak berhijrah ke skuad Piala Presiden PDRM, sebelum menerajui Marcerra United pada 2018.

Beliau juga berminat untuk mengisi kekosongan jurulatih Terengganu yang ditinggalkan oleh Irfan Bakti, namun PBSNT membuat keputusan untuk melantik Nafuzi Zain sebagai jurulatih baharu.

Setelah lama menunggu untuk mengendalikan pasukan Liga Super, Ishak akhirnya memperoleh peluang untuk menjadi jurulatih kepada pasukan PDRM yang baharu sahaja naik ke Liga Super.

Keputusan PDRM itu juga dibuat setelah gagal mencapai kata sepakat dengan E. Elavarasan untuk menawarkan kontrak baharu.

Justeru, Ishak dilihat sebagai calon yang sesuai memandangkan beliau sudah mempunyai pengalaman luas dalam bolasepak tempatan.

Peluang inilah yang ditunggu-tunggu Ishak.

Walaupun berada di peringkat amatur satu masa dahulu, sikap beliau yang bekerja keras dan tidak putus asa untuk menjadi jurulatih di peringkat Liga Super akhirnya menjadi kenyataan.