Liga Super Malaysia Berita

Selangor United sah jadi Sarawak United

Selangor United yang bersaing di Liga Perdana secara rasminya menjadi Sarawak United FC.

Status pasukan tersebut diluluskan oleh Malaysian Football League (MFL) selepas meneliti setiap dokumen dilampirkan oleh Persatuan Bolasepak Sarawak yang telah memiliki sepenuhnya Selangor United.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL telah menerima permohonan pertukaran pemilikan di antara SUFC dan Sarawak United di mana SUFC telah dimiliki sepenuhnya oleh FAS.

”Setelah membuat semakan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mengesahkan bahawa Sarawak United sudah membuat permohonan pendaftaran dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi proses pertukaran pemilikan ini. Jadi Ahli Lembaga Pengarah secara dasarnya meluluskan permohonan ini tertakluk kepada kelulusan daripada PJS dan SSM yang akan dikeluarkan.

“Justeru Ahli Lembaga Pengarah turut membuat keputusan untuk memanjangkan tempoh pengesahan penyertaan pasukan pada 15 Disember ini kepada 23 Disember buat Sarawak United melengkapkan urusan pendaftaran musim depan.

“Menerusi keputusan ini, Sarawak United akan mengisi slot Selangor United dengan menggunakan nama pasukan Sarawak United dan akan beraksi di Liga Premier musim 2020.”

Terdahulu, keputusan pertukaran pemilikan kelab telah dicapai dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah SUFC pada 22 November lalu dan mereka telah sebulat suara untuk menyerahkan pengurusan kelab berkenaan kepada pemilik baharu iaitu FAS.

Pertukaran status itu juga bakal menyaksikan Selangor United yang pada asalnya berpangkalan di Shah Alam akan beroperasi sepenuhnya di Kuching, Sarawak.

Dalam pada itu, MFL turut mengesahkan bahawa pasukan Sarawak kekal bermain di Liga M3 pada tahun depan selepas pasukan itu menamatkan kempen di tangga ke-11 Liga Perdana dan tewas pada aksi play off 3-1 kepada naib juara Liga M3, Kuching FA.

Selain Sarawak, MFL turut meluluskan penyertaan pasukan Selangor II dan Perak II untuk bertanding di Liga Perdana musim depan.